PAS akan "melancarkan serangan balas" terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung dakwaan mereka mengenai wujudnya ulama palsu, melalui pengedaran video cakera padat (VCD) terbaru terbitan PAS yang bertajuk "Ulama Palsu ".

Lajnah Penerangan Pusat PAS akan mengedarkan VCD itu kepada ahli-ahli parti sebagai salah satu usaha untuk menangkis tuduhan tersebut berdasarkan fakta dan peristiwa sebenar.

Pengarang lidah rasmi PAS Harakah, Zulkifli Sulong memberitahu malaysiakini bahawa PAS perlu mendedahkan siapa sebenarnya ulama palsu di Malaysia.

"Tuduhan Umno (terhadap pemimpin PAS) telah dibuat di akhbar-akhbar harian. Kita tidak ada ruang itu, jadi kami harap dengan cara ini, kami boleh sebarkan jawapan kami dengan mudah kepada ahli-ahli parti," katanya ketika ditemui hari ini.

"Mereka yang melihat video ini boleh menilaikan - melalui fakta yang kami berikan - siapa yang palsu, PAS atau Umno."

Menurut beliau, video itu itu dijangka berada di pasaran hujung minggu ini dan setiap satu akan dijual dengan harga RM5.

Ciri-ciri ulama

Zulkifli juga berkata PAS mungkin mengunakan kaedah yang sama dalam menjawab tuduhan terhadapnya bergantung kepada isu dan masa.

"Jika isunya serius dan memerlukan jawapan dan penerangan dari pihak PAS, kami mungkin menerbitkan VCD yang lain. Tetapi perlu ditegaskan, ini hanyalah untuk ahli PAS sahaja," katanya.

Kandungan video selama 40 minit itu telah dipengerusikan oleh ahli Parlimen Kubang Kerian Husam Musa yang menghuraikan ciri-ciri ulama palsu sepertimana yang disebut oleh Ulama Mesir Sheikhul Al-Azhar Dr Sayyid Tantawi ketika menghadiri Multaqa Ulama Sedunia di Putrajaya baru-baru ini.

VCD tersebut juga memaparkan keterangan yang dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Abdul Ghani Shamsudin, bekas imam Masjid Negara Ahmad Awang, peguam syarie Mohd Hanipa Maidin dan ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu.

Antara perkara yang diperkatakan ialah mengenai penyelewengan tafsiran ayat al-Quran oleh pemimpin-pemimpin yang tertentu berhubung isu ulama..

Antara petikan yang menarik adalah kritikan yang dibuat oleh presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin tertinggi Umno ketika perhimpunan agung Umno baru-baru ini tentang pemimpin PAS.