Seorang bekas pramugara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang pagi ini atas tuduhan menghasilkan cakera padat (VCD) yang mengandungi adegan lucah yang didakwa dibintangi oleh beberapa pramugari.

Yusof Mohd Rizal Mat, 32, juga menghadapi tuduhan alternatif membuat video cakera padat yang mengandungi adegan seks dengan niat untuk diedarkan kepada awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang di antara awal 1999 awal dan Mei 2003.

Bapa kepada dua anak itu, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap tuduhan tersebut.

Dia dakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksima tiga tahun penjara dan/atau didenda.

Hakim Noradidah Ahmad membenarkan Mohd Rizal diikatjamin sebanyak RM8,500 dan menyerahkan dokumen perjalanannya kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 8 Ogos depan bagi memberi masa kepada Mohd Rizal untuk melantik peguam bagi mewakilinya dalam kes tersebut.

Jarang berlaku

Mohd Rizal yang berseluar hitam dan memakai baju warna kelabu terpaksa menutup mukanya dengan tangan ketika jurugambar yang bersesak untuk mengambil gambarnya sewaktu dibawa ke lokap mahkamah.

Sebelum itu, pihak pendakwa mencadangkan ikatjamin sebanyak RM10,000 tetapi Mohd Rizal memberitahu mahkamah yang dia kini hanya bekerja sebagai jururunding operator telekomunikasi, dan merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.

"Isteri saya telah kehilangan pekerjaannya dan beliau dan anak-anak bergantung kepada saya," katanya.

Pihak pendakwa, Salehudin Saidin berkata, walaupun pendakwaan terhadap Mohd Rizal bukanlah kes pertama seumpama itu, tetapi beliau menganggap ianya jarang berlaku.

Pihak berkuasa melancarkan gerakan merampas VCD lucah April lalu, berikutan laporan media mengenai pengedaran VCS lucah membabitkan krew kabin berpakaian seragam sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Laporan itu, yang turut mendedahkan beberapa keping gambar dari video berkenaan, telah mendorong pihak polis untuk memulakan penyiasatan.