Pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini berasa hairan bagaimana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak berhubung dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sementara Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sentiasa berhubung dengan pemimpin nombor satu itu.

Beliau mengulas kenyataan Daim pagi ini yang dilaporkan sebagai berkata "saya sentiasa berhubung dengannya (Mahathir)." Manakala, menurut laporan sebuah akhbar utama hari ini, Abdullah dipetik sebagai berkata, "saya tidak bercakap dengannya kerana beliau sedang bercuti."

Daim memberikan kenyataan demikian sebagai mengulas tentang kesihatan Perdana Menteri yang sedang bercuti di Argentina dan kepulauan Caribbean. Beliau juga berkata Mahathir kini menuju ke London dan akan menemui Presiden Perancis pada 29 Januari seperti dijadualkan.

"Daim berkata bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri sementara Timbalan Perdana Menteri yang dipilih sebagai penggantinya tidak bercakap dengannya sejak beliau bercuti," kata Kit Siang kepada malaysiakini.

Kit Siang berkata rakyat akan membandingkan hubungan antara Mahathir-Abdullah dengan Mahathir dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim yang pernah memangku jawatan nombor satu itu ketika Perdana Menteri bercuti selama sebulan pada pertengahan 1997.

"Mahathir berhubung dengan Anwar setiap hari melalui persidangan video semasa beliau berada di luar negara," katanya lagi.

Kit Siang juga menegaskan kesihatan Perdana Menteri bukan hal peribadi dan berhak diketahui oleh rakyat negara ini. Beliau mencadangkan doktor peribadi Mahathir mengeluarkan kenyataan tentang kesihatan pemimpin berusia 74 tahun itu.

"Rakyat lebih yakin dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang profesional dan bukannya seorang ahli politik yang tidak mempunyai hubungan terus dengan Mahathir," katanya.

Kenyataan bekas Ketua Pembangkang ini sebagai mengulas isu "Mahathir jatuh dari kuda" ketika berada di Argentina tetapi beberapa hari lalu seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri menafikannya. Isu itu semakin diperkatakan apabila Mahathir secara tiba-tiba membatalkan kehadirannya di satu persidangan ekonomi di Davos tanpa sebarang alasan dan berhasrat untuk memendekkan masa cutinya beberapa hari.

"Rakyat berhak mengetahui siapa yang jatuh dari kuda di Argentina," katanya lagi.