Dua rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 akan didakwa selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Paul Wayne Jones, berkata Washington masih belum membuat keputusan sama ada mendakwa mereka di mahkamah tradisional atau tribunal tentera, yang mana sering digunapakai dalam situasi ketika perang.

Jones yang mengadakan lawatan dua hari ke Kelantan, bagaimanapun, berkata tiada kemungkinan mereka akan dihantar balik ke Malaysia untuk didakwa di negara ini.

Beliau berkata, proses pendakwaan akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Mereka adalah Mohamad Nazir Lep atau dikenali sebagai Bashir Lap atau Lilie dan Mohd Farik Amin yang dikenali sebagai Yazid Zubair.

Kedua-dua mereka didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda serta pertubuhan militan Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI).

- Bernama