Keputusan kes rayuan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 2002 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng, berkata keputusan kes rayuan itu yang sepatutnya dibuat hari ini, ditangguhkan berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Wahab, bercuti kerana ibunya meninggal dunia semalam di Terengganu.

NONEGobalakrishnan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Mei tahun lalu selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikenakan denda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret.

Beliau dituduh dengan sengaja menghalang Cif Insp V Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di Georgetown kira-kira 12.20 tengah hari, 29 Januari 2002 dan ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong Parti Keadilan Rakyat daripada menari ketika sambutan Thaipusam di Georgetown.

Berikutan itu, Gobalakrishnan berdepan risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Padang Serai kerana berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia, seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakannya apabila disabitkan atas suatu kesalahan oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Gobalakrishnan dan peguamya, RSN Rayer tidak hadir di mahkamah hari ini.

 - Bernama