Universiti Malaya (UM) hari ini membebaskan dua mahasiswa UM itu yang digantung satu semester dan didenda RM200 serta ditarik bantuan biasiswa bermula akhir Mac lalu.

NONETan Tiong Yih (kanan) dan Yeong Lee Kee, pelajar Tahun Dua UM dituduh memalsukan dokumen cuti sakit  ketika menghadiri bengkel calon
pilihanraya kampus UM awal tahun ini.

Pihak Jawatankuasa Rayuan UM mengeluarkan keputusan rasmi hari ini setelah sebulan keputusan tersebut tergantung walaupun diberitakan akan diumumkan 7 April lalu.

Masing-masing yang menuntut di fakulti kejuruteraan dan fakulti sastera juga dihalang memasuki sebarang kuliah setelah diputuskan bersalah dalam perbicaraan 24 Mac lalu di mahkamah tribunal universiti.

Yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, pihaknya berpuas hati setelah pihak universiti menarik balik tuduhan tersebut.

"Saya merakamkan jutaan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh seluruh mahasiswa yang menuntut keadilan sepanjang kedua-dua rakan kita itu dituduh sehinggalah dibebaskan hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MPMUM juga, tambahnya, akan berusaha membantu mendapatkan slip peperiksaan kedua-duanya bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan akhir semester seperti biasa.

"Pihak MPMUM akan bertindak segera membantu mereka mendapatkan slip peperiksaan supaya mereka boleh menjalani peperiksaan," katanya lagi.

Syahid juga berkata, memandangkan Tiong merupakan salah seorang ahli jawatankuasa MPMUM sebelum ini, maka namanya akan diserapkan kembali dalam organisasi MPMUM.

Beliau turut menyuarakan rasa gembira dengan keputusan itu dan berkata ianya membuktikan kedua-dua mahasiswa tersebut tidak bersalah.

"Keputusan ini di luar jangkaan kami dan saya amat gembira dengan keputusan ini dan sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak bersalah," tambahnya.

Sebelum ini, Pro-Mahasiswa UM (Pro-M UM) yang memenangi Pilihanraya Kampus lalu, mendesak pihak pentadbiran universiti
menarik semula hukuman tatatertib ke atas kedua-duanya.

Mereka turut mempertikai prosedur mahkamah universiti yang dilaksanakan terhadap kedua-duanya apabila mereka tidak boleh membawa sesiapa kecuali diwakili pekerja atau pelajar sedangkan mereka mempunyai saksi yang boleh membantu dalam sesi pembelaan.