Usahawan Deepak Jaikishan menafikan bahawa beliau terlibat dalam mengatur satu pertemuan yang didakwa melibatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan juga salah seorang adik kepada perdana menteri, Nazim Razak.

Dakwaan berkenaan sebelum ini dikemukakan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin di laman popular Malaysia Today sebelum ini.

Balasubramaniam dalam satu wawancara yang disiarkan Malaysia Today sebelum ini mendedahkan bahawa beliau telah menemui Nazim dan juga isteri Nazim di satu kawasan pusat membeli belah di Petaling Jaya pada 3 Julai 2008.

"Itu satu fitnah," kata Deepak ketika ditanya dalam satu sidang media semalam.

Katanya lagi, beliau bagaimanapun mengenali Nazim dan pernah bekerjasama dengan arkitek berkenaan dalam projek tertentu.

Katanya lagi, beliau juga mengenali isteri Nazim yang merupakan seorang personaliti televisyen tetapi tidak pernah berjumpa dengan wanita berkenaan.

Deepak turut mengakui bahawa beliau pernah bertemu dengan Balasubramaniam sebanyak dua kali dan menjelaskan, beliau mengenali Balasubramaniam melalui adiknya Dinesh.

Katanya lagi, beliau bukanlah seorang individu yang bertanggungjawab membawa wang (bagman) untuk dibayar kepada Balasubramaniam.

"Bagman? Tiada siapa yang guna beg di zaman Internet ini? Ini boleh dilakukan melalui pindahan wang (elektronik)

"Sekiranya benar (saya atur pertemuan itu), saya boleh suruh orang-orang saya untuk lakukannya. Saya tidak perlu buat sendiri," katanya lagi.

Bayaran berkenaan didakwa dibuat kepada Balasubramaniam supaya penyiasat persendirian itu menarik balik satu akuan bersumpah kontroversinya sebelum ini.