Kolumnis Awang Selamat minta maaf pada Vincent Tan
Kolumnis
Mingguan Malaysia
, Awang Selamat, telah memohon maaf secara terbuka kepada pemilik Bukit Tinggi Resort, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, berikutan tulisannya yang telah menyinggung perasaan dan peribadi jutawan tersebut.
Dalam ruangannya pada 25 Mei lalu, Awang Selamat menulis tentang 'Tauke Cina, Mesin Slot', ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak pernah meluluskan kasino baru di Bukit Tinggi seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.
Awang Selamat memohon maaf kepada Tan melalui ruangannya semalam, di bawah tajuk "Penjelasan Vincent Tan", selepas mengadakan pertemuan dengan jutawaan tersebut.
Kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat, telah memohon maaf secara terbuka kepada pemilik Bukit Tinggi Resort, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, berikutan tulisannya yang telah menyinggung perasaan dan peribadi jutawan tersebut.
Dalam ruangannya pada 25 Mei lalu, Awang Selamat menulis tentang 'Tauke Cina, Mesin Slot', ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak pernah meluluskan kasino baru di Bukit Tinggi seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.
Awang Selamat memohon maaf kepada Tan melalui ruangannya semalam, di bawah tajuk "Penjelasan Vincent Tan", selepas mengadakan pertemuan dengan jutawaan tersebut.
Menurut Awang, Tan merasakan Awang telah berlaku tidak adil kepadanya dengan tulisan itu, walaupun namanya tidak disebut.
Pada pertemuan itu, beliau memberitahu Awang bahawa tulisan tersebut bukan sahaja bernada satu penghinaan terhadap dirinya, tetapi berunsur perkauman kepada peniaga-peniaga Cina lain.
Menurut Awang lagi, Tan juga menyatakan bahawa tulisan itu turut menyinggung perasaan orang Melayu, seolah-olah mereka begitu mudah dibeli untuk membantu tauke-tauke melanggar undang-undang.
Tidak tepat
Menurutnya, Tan berkata tulisannya tidak tepat dan menasihatkannya supaya membuat kajian teliti terlebih dahulu, untuk mengelakkan menulis sesuatu yang sensasi yang "telah memberi gambaran negatif terhadap dirinya serta boleh menyentuh emosi dan sentimen perkauman."
Tan juga, kata Awang, telah memberitahunya yang setiap entiti masyarakat di negara ini, termasuk kumpulan peniaga ada tanggungjawab dan turut memainkan peranan membangunkan ekonomi negara, menambahkan hasil negara melalui bayaran cukai dan menyediakan peluang kerja kepada semua kaum.
Awang, bagaimanapun, berkata, beliau tidak berniat sama sekali untuk merendahkan mana-mana pihak, jauh sekali daripada bertujuan untuk menyelar peribadi beliau (Vincent Tan).
Menurut Awang lagi, beliau juga telah memberi penjelasan kepada Tan bahawa beliau tidak mempunyai agenda terselindung ketika membuat penulisan tersebut.
"Awang menghargai penerangannya kepada Awang. Di atas kesilapan fakta dalam tulisan tersebut, Awang memohon maaf kepada Tan dan kesal jika terdapat salah faham berikutan tulisan tersebut yang telah menyinggung perasaan dan peribadi beliau," kata Awang dalam ruangannya semalam.
Bagaimanapun, Awang menegaskan bahawa tulisannya itu dibuat bagi meluahkan perasaan orang Melayu secara umum yang tidak mahu melihat sesiapa sahaja menyalahgunakan hubungan mereka dengan mana-mana pemimpin negara.
Lesen tambahan
"Awang percaya terdapat hikmah di sebalik tulisan Awang dan penjelasan Vincent Tan. Setidak-tidaknya, hari ini, kita lebih memahami satu sama lain. Setidak-tidaknya, ia telah memperbetulkan persepsi orang ramai," tegasnya lagi.
Dalam ruangannya pada 25 Mei lalu, Awang menyebut mengenai tauke Cina yang menurutnya mengambil kesempatan daripada `kabel' atau hubungan rapat mereka dengan orang Melayu yang berkedudukan serta berpengaruh, sampai ada yang berani membelakangkan undang-undang.
Menurut Awang lagi, mereka bergerak dan menjalankan perniagaan dengan pegangan bahawa semuanya `boleh dikira' dan orang Melayu boleh dibeli.
"Ada juga tauke Cina yang sudah kaya-raya, tetapi masih tamak dan berani pula mengguna nama pemimpin negara untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Sebab itu Awang tidak terkejut apabila heboh tentang `kasino baru' di Bukit Tinggi, Pahang," tegas Awang dalam ruangannya itu.
Inilah masalahnya, kata Awang, apabila ada yang merasakan mereka sudah terlalu besar dan boleh `mengatur' segala-galanya kerana sudah menjadi kaya dan berpengaruh.
Awang juga menyebut mengenai khabar kononnya Resort World di Genting Highlands akan membeli mesin slot baru dan bercadang menjual mesin slotnya yang lama kepada Bukit Tinggi Resort.
"Pada masa yang sama Bukit Tinggi Resort telah mendapat lesen untuk 250 lagi mesin slot sebagai tambahan kepada 200 lesen sedia ada. Ini bermakna Bukit Tinggi Resort bakal mempunyai 450 buah mesin slot iaitu yang kedua terbanyak di Malaysia selepas Genting Highlands," tegasnya.
Awang mengakhirnya tulisannya itu dengan menyebut: "Macam mana semua ini boleh berlaku? Apakah kerana taukenya merasakan dia lebih besar daripada undang-undang? Atau kerana ada Melayu di belakang? Apa pun, pihak berkuasa perlu bertindak tanpa rasa takut."

