Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka mengucapkan 'Selamat Menyambut Alaf Baru' tetapi Anwar kelihatan tidak gembira. Namun, sepanjang perbicaraan selama empat jam itu, Anwar kelihatan tenang dan serius. Anwar terus meluru ke arah ibunya, Che Yan Abdul Hamid sebaik sahaja melihat orang tuanya itu tiba dan memeluknya. Isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya kecuali Nurul Izzah tidak hadir hari ini.

"Emak saya tidak dapat hadir kerana sedang mengerjakan umrah," kata Izzah kepada malaysiakini. Azizah bertolak ke Mekah selepas menghadiri satu persidangan di Manila minggu lepas.

Sambutan orang ramai terhadap kes itu masih menggalakkan walaupun sudah dua bulan tertangguh dan ramai orang menjangkakan selepas pilihanraya, kes ini tidak diberikan perhatian lagi. Kira-kira 50 orang beratur di luar mahkamah untuk mengikuti perbicaraan itu, sementara beberapa ratus penyokongnya berkumpul menyatakan sokongan. Di dalam mahkamah pula semua tempat duduk penuh.

Sebelum perbicaraan bermula, Anwar sempat bercakap-cakap dengan saudara-mara dan kenalan selama 10 minit. Kenalan yang hadir termasuklah Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar dan jurucakap media KeADILan Raja Petra Kamaruddin. Beliau senyum pada wartawan dan hadirin sebelum duduk. Pipinya kelihatan cengkung dan pucat. Rambutnya pula perang dan agak jarang.

"Anwar kelihatan agak kurus," jelas Penyelaras Suaram, Elizabeth Wong.

Peguam bela Anwar, Karpal Singh yang dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini di bawah Akta Hasutan, mempertikaikan tuduhan terhadap beliau sedangkan hujah, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, tidak didakwa. Mohtar sebelum ini pernah dilaporkan sebagai berkata bahawa isteri Anwar berkemungkinan memberi racun arsenik kepada Anwar.

Karpal berhujah bahawa beliau sepatutnya diberikan kekebalan ketika membela pelanggannya. Dalam perbicaraan pada 10 September tahun lepas, beliau mengesyaki "seseorang yang berjawatan tinggi" bertanggungjawab meracun Anwar.

Hari ini, sebagai menyambung kes Anwar, Karpal bertanyakan nama penulis surat berkenaan tuduhan liwat ke atas Anwar yang ditulis pada 1997. Anwar memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti kerana tidak ada nama ataupun tandatangan pada surat tersebut.

Perbincangan yang agak panjang tentang surat itu timbul apabila hakim meminta Karpal menjelaskan surat-surat yang terlibat dalam pertuduhan itu kerana Karpal telah mengemukakan banyak bukti tentang surat-surat itu.

Sementara itu, Anwar mengulangi kenyataannya bahawa beliau menjadi mangsa kepada musuh politik yang tidak senang dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Seperti sebelum ini, Anwar menamakan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Pendidikan Aziz Shamsuddin dan bekas Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Megat Junid Megat Ayob sebagai perancang konspirasi yang menjatuhkannya.

Karpal memohon perbicaraan ditangguhkan esok kerana beliau ingin mengkaji lebih lanjut diari Anwar sebagai bukti alibi. Mulai esok, peguam bela Anwar akan mengemukakan isu ini setelah tamat isu konspirasi. Anwar juga meminta hakim mempertimbangkan kesnya dengan adil kerana beliau menjadi mangsa pakatan jahat tersebut.

Mahkamah ditangguhkan jam 1 petang tetapi Anwar masih berada di mahkamah sehingga jam 4 petang. Beliau kelihatan berbincang dengan peguam-peguamnya dengan ditemani oleh Izzah.