Naib ketua pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menafikan khabar angin yang mendakwa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpim Pemuda Keadilan baru-baru ini.

Aziz membuat penafian itu ketika ditanya mengenai berita-berita yang tersebar luas termasuk melalui Internet yang mendakwa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pemuda Keadilan Zahid Mat Arip di Ampang Point kira-kira dua minggu lalu.

Selepas usaha menelefon beliau gagal, malaysiakini telah menghantar SMS (sistem pesanan ringkas) kepada Aziz semalam, bertanya perkara itu kepadanya.

Sejurus kemudian beliau membalas SMS, dengan menjawab: "Tidak betul, saya tidak jumpa dia."

Berita yang mendakwa berlakunya pertemuan antara pihak Umno dan Keadilan, bertiup kencang, terutamanya melalui Internet sejak beberapa bulan yang lalu.

Tahanan ISA

Ianya semakin hebat disebar selepas pembebasan enam orang tahanan ISA, termasuk ketua pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Noor, baru-baru, yang dikatakan sebahagian daripada persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

Malah, salah sebuah lamanweb yang turut menyiarkan tulisan mengenai perkara itu, turut menamakan pemimpim Pemuda Keadilan itu dan tempat di mana mereka dikatakan mengadakan pertemuan itu.

Sebelum ini Zahid telah memberitahu malaysiakini bahawa beliau sedih dan kesal dengan khabar angin tersebut dan menganggap ianya satu perbuatan yang berniat jahat.

Ezam juga sebelum ini telah menafikan khabar angin yang menyebut yang beliau sedang mengadakan rundingan dengan wakil Umno mengenai kemungkinannnya kembali menyertai parti itu.