PAS: Dasar ekonomi Mahathir tidak dapat bertahan
Dasar ekonomi yang digubal oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak dapat bertahan dalam jangka panjang, demikian kata setiausaha agung PAS Nasharuddin Mat Isa hari ini.
"Saya dapati BN (Barisan Nasional) terdesak untuk merangsangkan ekonomi negara melalui pembiayaan hutang. Ini bermakna kerajaan selepas ini akan mewarisi beban hutang yang besar," kata pemimpin pembangkang itu dalam forum soal-jawab malaysiakini .
Nasharuddin berkata defisit fiskal negara akan melampaui enam peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK), melebihi tahap amalan terbaik antarabangsa.
Dasar ekonomi yang digubal oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak dapat bertahan dalam jangka panjang, demikian kata setiausaha agung PAS Nasharuddin Mat Isa hari ini.
"Saya dapati BN (Barisan Nasional) terdesak untuk merangsangkan ekonomi negara melalui pembiayaan hutang. Ini bermakna kerajaan selepas ini akan mewarisi beban hutang yang besar," kata pemimpin pembangkang itu dalam forum soal-jawab malaysiakini.
Nasharuddin berkata defisit fiskal negara akan melampaui enam peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK), melebihi tahap amalan terbaik antarabangsa.
"Akibatnya pilihan dasar menjadi terhad. Sebagai contoh, BA (Barisan Alternatif) mahu memperkenalkan rejim cukai rendah di Malaysia. Tetapi pembiayaan hutang dan beban pembayaran akan melambatkan usaha kami ke arah rejim cukai rendah."
Demikian jawapan Nasharuddin kepada soalan seorang pembaca yang ingin mengetahui dasar ekonomi parti tersebut.
Malaysiakini menerima respon yang hebat kepada forum soal-jawabnya yang memberi peluang untuk pembaca mengemukakan soalan kepada setiausaha agung parti-parti politik yang utama menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
Sejak Nasharuddin memulakan forum online ini dua minggu yang lalu, laman web ini telah menerima lebih 100 soalan daripada pembaca.
Pemimpin PAS tersebut yang juga ahli parlimen Yan di Kedah menjawab tujuh soalan untuk kali ini. Beliau berjanji akan menjawab soalan lain dalam minggu yang akan datang.
Kepimpinan ulama
Menjawab soalan lain, Nasharuddin berkata 60 peratus daripada pemohon keahlian PAS ialah golongan profesional. Namun demikian, katanya, para ulama akan terus memainkan peranan utama dalam kepimpinan parti.
Akan tetapi, Nasharuddin menekan bahawa perlembagaan parti tidak menghadkan kepimpinan kepada para ulama.
"Meskipun golongan ulama telah membawa kejayaan kepada parti di Kelantan dan Terengganu, ramai ahli parti di barisan atasan ialah ahli profesional dan akademi."
Tambahnya, parti tersebut menyokong dasar kebudayaan dan kesenian yang menggalakkan perkembangan kendiri.
"Seni dan budaya sepatutnya mendidik orang ramai mengenai perkembangan kendiri, dan bukannya menyuap mereka dengan cerita dongeng dan kepercayaan karut. Industri hiburan dan kegiatan kebudayaan mestilah sensitif kepada tuntutan agama, kepercayaan dan moral, selaras dengan nilai ketimuran yang menjadi identiti masyarakat Malaysia," katanya.
Nasharuddin juga berkata PAS bukan sahaja mahu mengekalkan sistem berparlimen negara, tetapi juga ingin memperkuatkan institusi ini.
"Kami telah berkali-kali menyeru sidang Parlimen disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia tetapi sehingga kini seruan kami tidak pernah disambut oleh parti pemerintah."
Nasharuddin, 41, yang dilihat sebagai pemimpin yang kian naik dalam parti Islam itu, merupakan satu daripada setiausaha agung parti politik yang termuda di negara ini.
Soal-jawab bersama Nasharuddin Mat Isa di sini.

