Pengerusi DAP, Lim Kit Siang mengecam media arus rasmi kerana tidak melaporkan persefahaman antara parti itu dengan sekutunya dalam Barisan Alternatif, PAS, berhubung isu kharaj minggu lepas, tetapi sebaliknya media terus menimbulkan berita-berita negatif mengenai cukai tanah ke atas orang bukan Islam.

"Media massa sengaja tidak melaporkan berita mengenai persefahaman bermakna yang dicapai antara DAP dengan PAS bahawa kharaj tidak akan diperkenalkan tanpa mengambil kira pandangan kaum bukan Islam," jelasnya.

Beliau secara khusus merujuk The Star dalam kritikannya. Menurut Lim, akhbar harian berbahasa Inggeris yang paling tinggi edarannya itu melaporkan "Non-Muslim body objects to kharaj proposal" (pertubuhan bukan Islam membantah kharaj) pada 16 Disember dan "Kharaj will scare investors" (kharaj akan menakutkan pelabur) pada 18 Disember, hanya beberapa hari selepas pertemuan PAS-DAP yang dianggap bermakna itu.

Minggu lepas, DAP menghantar satu rombongan sembilan anggota ke Terengganu dan Kelantan untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS negeri. Kit Siang pada Jumaat lalu melaporkan, hasil pertemuan tersebut, beberapa kejayaan telah dicapai dalam beberapa isu utama.

Sambil memetik pandangan Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang, Kit Siang berkata, "Hadi memberi jaminan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS akan menghormati sepenuhnya hak-hak dan perasaan kaum bukan Islam dan juga mengutamakan prinsip 'syura rakyat' dalam semua dasar yang bakal diperkenalkan, bukan hanya isu kharaj, jika sekiranya ia melibatkan kepentingan kaum dan agama lain."

"Pemimpin-pemimpin DAP mendapati perbincangan dengan Hadi dan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain sungguh berjaya dan produktif," tambahnya.

Mengenai usaha PAS meminda perlembagaan negeri agar kerajaan dapat melantik wakil kaum-kaum minoriti di dua buah negeri itu, Kit Siang berkata partinya mengalu-alukan sikap terbuka Hadi dan Nik Aziz dalam hal itu.

"Kerajaan Terengganu turut memberi jaminan bahawa ia akan melantik wakil kaum Cina dalam majlis perbandaran dan juga majlis daerah, dan dua kekosongan diperuntukkan untuk kaum Cina di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu sebaik sahaja perlantikan baru dibuat," jelas Kit Siang lagi.

Kit Siang juga berkata Hadi dan Nik Aziz akan mempertimbangkan bantuan untuk sekolah-sekolah rendah Cina dan Tamil sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan kaum-kaum ini kepada pembangunan nasional. Beliau menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidaklah begitu serius menyediakan bantuan seumpama ini.

"Hadi turut memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri akan mengutamakan prinsip-prinsip keadilan dalam membahagikan projek pembangunan, rumah kos rendah dan lesen-lesen penjaja serta gerai, berdasarkan keperluan," kata Kit Siang, sambil menambah tidak akan ada diskriminasi berdasarkan kaum atau amalan kronisme sebagai mana yang diamalkan oleh kerajaan negeri dahulu di bawah Barisan Nasional.

Kit Siang juga berkata partinya mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri menarik larangan menternak khinzir yang diperkenalkan oleh kerajaan BN selama hampir 10 tahun. "Saya tidak faham bagaimana MCA boleh bersetuju mengenai langkah ini sedangkan seorang anggota exco parti itu berada dalam majlis mesyuarat kerajaan," jelasnya lagi.

Menurut Kit Siang, kerajaan Terengganu pimpinan PAS telah memulakan langkah-langkah terbaik yang tidak pernah dibuat oleh sebarang kerajaan negeri sebelum ini sepanjang 42 tahun kemerdekaan negara.

Kit Siang turut berkata langkah-langkah menghapuskan tol, peruntukan cuti bersalin selama 90 hari kepada kakitangan awam, contoh kepimpinan Hadi yang tidak mahu tinggal di kediaman rasmi, anggota-anggota exco diwajibkan mengisytiharkan harta kepada umum, pembentukan jawatankuasa hisbah bagi menerima aduan orang ramai mengenai salahlaku kerajaan negeri merupakan panduan yang boleh dipelajari kerajaan persekutuan dari negeri itu.

Bagaimanapun, Kit Siang dikritik hebat oleh Pengarang Kanan Berita The Star Wong Chun Wai dalam kolumnya setiap Ahad, "On the Beat," dengan menyatakan Kit Siang dan DAP hanya dilihat di mata kaum Cina sebagai "apologis" kepada PAS.

"Tidak ada sebab kaum bukan Islam harus berterima kasih kepaad Hadi atas jaminannya bahawa penganut agama Buddha dan Kristian dibenarkan membina tempat-tempat ibadat masing-masing. Hak itu sudah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," tulis Wong.

"Begitu dalam soal melantik wakil-wakil kaum dalam majlis perbandaran dan majlis daerah, masyarakat bukan Islam tidak sepatutnya mengucapkan terima kasih. Ini semua langkah kecil PAS untuk mengambil hati dan sokongan bukan Islam bagi mencapai hasrat besar mereka ke arah penubuhan negara Islam, seperti mana yang telah disuarakan secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin PAS," tambahnya.

Kit Siang dalam satu hujah balas menjawab bahawa beliau mengalami penderitaan ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukannya apologis bagi pihak PAS, semata-mata kerana mempertahankan keadilan, kebebasan dan demokrasi untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.