Tindakan sebuah syarikat petroleum terkemuka di Tanjung Kling, Melaka yang bercadang menjalankan kerja-kerja meletupkan terumbu karang di kawasan perairan berkenaan telah membangkitkan kemarahan lebih 100 nelayan di situ.

Difahamkan, tindakan itu bagi menjalankan kerja-kerja ujian di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG) yang berkedudukan kira-kira tiga batu nautika (5.5km) dari kawasan pantai.

Semua nelayan termasuk dari Pantai Rombang, Pantai Puteri, Pantai Kundur dan Balik Bukit mengadakan perhimpunan sebagai membantah cadangan itu yang dibimbangi boleh memusnahkan hidupan laut sekaligus menjejaskan sumber pencarian mereka.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa kerja-kerja menanam cerucuk besi di kawasan tapak projek turut merosakkan jaring mereka, yang sekaligus mendatangkan kerugian.

Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak, Mahat Jantan berkata, setakat ini firma berkenaan hanya mengeluarkan surat yang dihantar ke pejabat persatuan nelayan dan bukannya kepada nelayan terbabit bagi memaklumkan mengenai kerja-kerja letupan yang akan dijalankan.

Menurut Mahat, beliau hanya mengetahui perkara itu setelah surat berkenaan diserahkan oleh salah seorang ahli persatuan nelayan di kawasan tersebut.

"Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan dengan kami para nelayan dan memaklumkan mengenai perkara ini. Ini tidak, surat pun tidak diterima kebanyakan nelayan di sini.

"Bayangkanlah apa yang akan berlaku sekiranya pada hari berkenaan ada nelayan yang pergi ke kawasan terbabit tanpa mengetahui bahawa akan dijalankan kerja letupan itu," katanya ketika ditemui media petang, semalam.

Menurut Mahat, para nelayan merasa terkilan kerana kerja letupan di terumbu karang itu hendak dijalankan tanpa mengambil kira kebajikan nelayan.

Menurutnya, setakat ini, lebih 63 nelayan telah menandatangani memorandum bantahan yang bakal diserahkan kepada ADUN Pantai Kundur, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

"Kami bukan membantah pembangunan tapi berilah perhatian kepada kebajikan kami kerana ini membabitkan mata pencarian kami," katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zaidi Tawil, 45 berkata, terumbu karang berkenaan merupakan kawasan lubuk emas untuk nelayan dari empat kawasan ini.

Menurutnya, apa yang mereka bimbang adalah kerja-kerja yang hendak dijalankan akan mengugat mata pencarian mereka.

"Sudahlah sekarang ini kami terpaksa berhadapan masalah jaring koyak kerana terkena cerucuk besi. Selepas ini, kalau terumbu karang ini rosak, ke mana lagi kami hendak mencari rezeki.

"Kami sudah lama mencari rezeki di sini dan oleh yang demikian, mereka perlu mengambil berat mengenai kebajikan kami di sini," katanya.