Badrul Hisham diheret ke JK hak dan kebebasan
ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dan peguamnya Datuk Mohd Hafarizam Harun hari ini dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana menghina dewan itu.
Menurut usul yang dibentangkan oleh ADUN Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kesalahan yang dilakukan itu sama ada secara berasingan ataupun bersama melalui sepucuk surat bertarikh 29 Mac yang dialamatkan kepada Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Abdul Khalid, adalah juga Menteri Besar berkata surat itu mengandungi perkataan yang "berbahasa amat tidak senonoh, biadab dan mengugut".
Katanya kandungan surat yang disampaikan kepada Teng berbahasa amat tidak "senonoh, biadap dan mengugut".
Hafarizam atas arahan Badrul Hisham telah menyerahkan notis bertarikh 29 Mac lepas kepada peguam Teng, Tommy Thomas dalam bahasa Inggeris berbunyi:
"Kita ada arahan ketat daripada klien bahawa kos RM40,000 akan dibayar kepada plaintif (Badrul Hisham) dan atau kita sebagai peguam untuk plaintif dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini.
"Kita juga ada arahan ketat daripada klien kita untuk meneruskan Prosiding Kebankrapan terhadap klien kita kerana kegagalan mematuhi perintah itu bertarikh 18 Feb 2011 yang diserahkan kepada anda pada 22 Mac 2011."
Secara tertutup
Timbalan Speaker DUN Haniza Talhah memberitahu dewan bahawa pendengaran ke atas Badrul dan peguamnya akan dilaksanakan secara tertutup.
Bagaimanapun tarikh pendengaran tertutup itu masih belum ditetapkan lagi, yang akan dipengerusikan oleh M Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) bagi menggantikan Teng yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.
Sementara itu, Badrul Hisham semasa ditemui selepas selesainya persidangan dewan pada hari ini berkata beliau akan hadir pada pendengaran itu kerana beliau ingin mendengar apa kesalahannya.
Penasihat Undang-undang daripada firma Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak, Emelia Iszeham yang mewakili Badrul Hisham memberitahu wartawan bahawa jumlah RM40,000 yang dituntut itu merupakan jumlah yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibayar oleh Speaker DUN.
Pada 18 Feb lalu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya setelah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Speaker DUN Selangor ekoran tindakannya mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Jan lalu.
Kontroversi kerusi Pelabuhan Klang timbul setelah Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu dengan mengatakan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

