Jom, pandang ke Timur
Kali ini, walaupun beliau mungkin tidak suka - dan pastinya tidak suka - Mahathir mesti memandang ke Timur lagi. Timur kali ini tidak jauh tetapi hanya di Pantai Timur apabila dua buah negeri di situ berjaya ditawan PAS dalam pilihan raya umum ke-10 lalu. Tidak seperti selepas pilihan raya ke-8 pada 1990 lalu, kali ini dua negeri yang ditadbir parti pembangkang itu tidak mempunyai seorang pun wakil dalam kabinet.
"Mahathir sengaja hendak menghukum pemimpin Umno di dua negeri itu," komen seorang pemandu teksi yang berani menampal simbol-simbol parti pembangkang di dalam keretanya.
Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menang tetapi kelihatan tidak diperlukan. Dua tokoh muda harapan Perdana Menteri dalam misi merampas Kelantan sejak selepas pilihan raya 1990, pernah dilantik senator agar boleh dianugerahkan jawatan menteri, Datuk Annuar Musa (Peringat) dan Datuk Mustapa Mohamad (Jeli) menjadi dua batu nesan bagi
Umno di negeri itu dalam pilihan raya umum lalu.
Sementara di Terengganu, Ketua Perhubungan Umno dan juga bekas Menteri Besar, Datuk Amar Wan Mokhtar Ahmad sendiri tewas. Pergerakan Pemuda cepat menuding jari kepada beliau yang "sudah terlalu lama" tetapi Wan Mokhtar menjawab, "seolah-olah saya seorang sahaja yang bersalah" - hanya beberapa hari sebelum menarik balik kenyataan itu, "sebagai seorang jeneral yang luka, saya bertanggungjawab ke atas kekalahan parti."
Tetapi Mahathir tentunya tidak memandang ke Timur kerana soal-soal dalam parti sahaja. Ketika Kelantan sahaja mencapai kemenangan sepuluh tahun lalu, kerajaan pusat dengan pantas menyerang dan memencilkannya. Langkah-langkah menawan kembali Kelantan, selain melantik dua senator, ialah menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan dan mencetak kampit baja subsidi yang diberikan kepada penyokong Umno sahaja dengan lambang 'dacing' - simbol Barisan Nasional.
Setakat ini tidak ada hukuman berat diberikan kepada Terengganu. Ada ura-ura Lebuhraya Pantai Timur dibina setakat negeri Pahang; dulunya hanya setakat negeri Terengganu (masih di bawah BN). Isu kharaj dipercayai boleh berfungsi sebagai 'hukuman' - mengelirukan orang ramai, khususnya bukan Islam, terhadap imej PAS. Kharaj sengaja dipakejkan dalam konteks 'negara Islam' sehinggakan Pengerusi DAP Lim Kit Siang sendiri mengaku, "kita sendiri pun panik dan gelisah."
"Sudahlah
ditewaskan dengan teruk, hanya beberapa hari selepas pilihan raya, PAS pula menimbulkan
isu yang mermuitkan DAP," jelas Kit Siang kepada malaysiakini di pejabatnya
Jumaat lepas. Isu kharaj bukannya satu bentuk hukuman seperti mana Kelantan cuba dihukum
oleh
Umno; isu itu hanyalah 'perang imej' antara kerajaan persekutuan dengan sebuah kerajaan
negeri.
Bagaimanapun, Terengganu melancarkan serangan balas ke atas Umno. Untuk memulihkan imejnya
- dan nampaknya imej itu terlalu outstanding jauh meninggalkan Kelantan - negeri penyu itu
mengumumkan langkah-langkah yang lebih demokratik, liberal dan popular. Sebahagian
besarnya dijanjikan dalam manifesto PAS di peringkat negeri itu sendiri; misalnya,
menghapuskan tol, menyediakan pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan, menghapuskan
cukai-cukai tanah dan kediaman, dua hari cuti mingguan, dan cuti bersalin 90 hari bagi
isteri dan
tujuh hari bagi suami.
Kini, kerajaan Terengganu mengumumkan pula penarikan balik larangan menternak khinzir di
negeri itu yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sejak 1990. Negeri itu juga akan
melaksanakan sistem hisbah (ombudsman) tidak lama lagi; malah jawatankuasa khas dalam hal
itu sudah
pun ditubuhkan di peringkat majlis mesyuarat kerajaan yang dipimpin oleh bekas Ketua Hakim
Negara, Tun Salleh Abbas.
Sementara semua ahli majlis mesyuarat negeri (exco) pula akan mengisytiharkan harta
masing-masing kepada umum, bukannya kepada menteri besar seperti mana neger-negeri lain
yang dipimpin BN. Di peringkat Menteri Besar pula, Abdul Hadi Awang, masih tinggal di
rumah kampung di sebelah Masjid Rusila, Marang, dan menolak elaun kediaman.
"Tetapi semua kebaikan dan imej bersih Hadi dikaburkan dalam isu kharaj," jelas
Kit Siang pada Jumaat lepas ketika mengumumkan kejayaan misi DAP berunding dengan dua
negeri di Pantai Timur itu, "apabila media kawalan BN sengaja mencipta ketakutan di
kalangan bukan Islam dan bukan Melayu."
"Jika PAS cuba melaksanakan dasar-dasar yang menindas bukan Melayu dan bukan Islam,
DAP sukar sekali kekal dalam Barisan Alternatif."
Bagaimanapun, misi pertemuan dan rundingan antara DAP dengan PAS itu dianggap
"produktif dan berjaya." Malah Kit Siang berkata, "dalam tempoh 42 tahun
kemerdekaan negara ini, Terengganu [di bawah pentadbiran PAS] merupakan satu-satunya
kerajaan negeri yang paling baik permulaannya."
Mahathir tentunya terpaksa memandang ke Timur yang dekat ini.

