Polis perlu tubuhkan unit rogol
"Jabatan polis diharapkan dapat menubuhkan satu unit khas bagi mengendalikan aduan daripada mangsa rogol sendiri," saran Noraida Endut, pensyarah undang-undang untuk pekerja sosial dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
"Walaupun terdapat unit seksual yang bertujuan menangani keganasan seks di kalangan wanita, tetapi pembentukan unit khas bagi kes rogol adalah lebih berkesan."
Semalam malaysiakini melaporkan peningkatan hampir dua kali ganda bilangan kes rogol dalam tempoh lima tahun mulai 1993. Perangkaan ini didedahkan dalam satu kajian Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), bertajuk "Working Together Towards Better Services for Rape Survivors" yang dikeluarkan awal bulan ini.
Noraida menegaskan penubuhan unit tersebut amat penting bagi memudahkan mangsa rogol semasa proses membuat aduan. Apabila pegawai-pegawai polis diberi lebih pendedahan tentang kaedah kaunseling, memahami trauma yang dialami mangsa dan cara menerima laporan, mangsa akan lebih bersedia melaporkan segala kejadian buruk yang menimpa mereka, jelasnya lagi yang juga kaunselor Pusat Krisis Wanita di Pulau Pinang.
Menurut Noraida lagi, unit ini juga perlu memandangkan halangan-halangan yang terpaksa dilalui oleh pihak polis sendiri dalam usaha mengumpulkan bukti terhadap kes-kes rogol. Polis perlu memastikan cukup bukti seperti mendapatkan penerangan dari mangsa dan bukti lain dari tempat kejadian. Kekurangan tenaga pakar, misalnya dalam bidang kajian DNA, sehingga melambatkan usaha mendapatkan bukti juga perlu diatasi, katanya lagi.
Pihak-pihak berwajib juga disarankan meneliti semula Akta Keganasan Terhadap Wanita terutamanya melibatkan gadis di bawah umur 18 tahun. "Selama ini kita tidak mempunyai akta khusus bagi mengenal pasti kesalahan seks yang dilakukan oleh tertuduh. Apabila bentuk-bentuk kesalahan seksual seperti serangan seks oral dan cubaan seks diselaraskan, maka kes rogol akan lebih mudah ditangani," jelas Noraida selanjutnya.

