Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak telah mendaftar lebih 3,000 pengundi muda dalam tempoh sebulan sepanjang gerakan pendaftaran pengundi baru yang bermula bulan lalu.

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata Pemuda PBB baru memulakan gerakan pendaftaran pengundi muda kerana hanya menerima surat pelantikan sebagai sukarelawan pendaftar pemilih bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bulan lalu berikutan permohonan sebelum ini ditolak atas masalah teknikal.

"Kita telah lantik dua petugas di setiap cawangan Pemuda PBB untuk mendaftar pengundi baru," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Info Bestari dan sambutan Maulidur Rasul Kampung Sri Maimunah di Surau Darul Ibadah di Kuching hari ini.

Fadillah, yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata tiada sasaran pengundi muda baru ditetapkan kerana faktor geografi dan kesukaran mengesan individu yang belum mendaftar sebagai pengundi.

"Ada antaranya tidak berada di Sarawak dan keutamaan sekarang ialah mengenal pasti ahli kita yang bertugas di luar Sarawak mendaftar sebagai pengundi baru," katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu usaha diperhebatkan bagi memastikan kira-kira 1.2 juta anggota parti-parti komponen BN termasuk Umno berdaftar sebagai pengundi yang sah.        

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata kegagalan mendaftar pengundi baru tersebut akan merugikan BN kerana tidak dapat membantu parti dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata Pemuda PBB menyerahkan kepada pucuk kepimpinan PBB sama ada akan mengemukakan anggota daripada Pemuda PBB sebagai calon dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.

"Secara tradisinya kita tak akan serah nama namun kita yakin ia akan dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Ketua Menteri dan Perdana Menteri," katanya.

- Bernama