SPR diminta telus kendalikan pilihanraya
Pergerakan Pemuda Keadilan Malaysia menyifatkan kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman, yang mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, hanyalah bertujuan untuk "mencari publisiti".
Sebaliknya, ketua penerangan Pemuda Keadilan, Badrul Hisham Shaharin, berkata, tugas lebih mustahak untuk SPR ialah membaiki semula kaedah pemilihan yang didakwanya gagal selama ini, bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pilihanraya di Malaysia.
Sambil mendesak SPR supaya telus dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini, beliau berkata, suruhanjaya itu harus menggariskan senarai pengundi yang bersih dengan menghapuskan tiga juta pengundi hantu dalam operasi yang melibatkan semua parti politik.

"Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui mereka (BN) mempunyai bukti mengenai 2.8 juta pengundi hantu. Ini merupakan suatu kecacatan atas kebebasan, profesionalisme dan integriti SPR," tegasnya dalam surat terbuka pergerakan itu kepada SPR.
Di samping itu, katanya, SPR perlu memastikan senarai pengundi yang komprehensif dengan peratusan pengundi berkelayakan yang paling tinggi dalam senarai itu.
"SPR perlu mengambil manfaat daripada kecanggihan teknologi maklumat bagi memastikan setiap individu yang genap 21 tahun pada hari mengundi, dapat membuang undi sambil memastikan tidak wujud lagi senarai pengundi hantu baru," tambahnya.
Pendaftaran pemilih
Menurut beliau, masalah 1.5 juta rakyat Malaysia berumur di antara 21 dan 30 tahun yang belum berdaftar sebagai pengundi, boleh diselesaikan sekiranya SPR mempermudah dan mempercekapkan kaedah pendaftaran.
"SPR boleh belajar daripada pengendali pilihanraya di New Zealand, di mana pengundi boleh mengundi dalam pilihanraya umum selepas 24 jam mendaftar.
"SPR juga sepatutnya menjadi badan penentu tarikh pilihanraya dan tarikh tersebut seharusnya diumumkan sekurang-kurangnya tiga bulan awal untuk menjamin kesedian dan keadilan kepada semua parti politik," tegas Badrul Hisham.
SPR juga, katanya, hendaklah menganjurkan liputan media yang adil dan seimbang ketika kempen pilihanraya supaya semua parti kerajaan dan pembangkang mempunyai ruang secukupnya menyampaikan manifesto mereka dan rakyat dalam membuat pilihan dengan matang.
Selain itu, katanya, SPR perlu melarang politik wang oleh calon dan parti politik serta perbelanjaan pilihanraya yang berlebihan, di samping mengelak berlakunya penyalahgunaan jentera kerajaan dan tabung awam ketika berkempen.
Badrul Hisham juga menyarankan supaya disediakan kod tingkah laku yang menyatakan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara selepas Parlimen dibubarkan.
Dilihat bebas
Di samping itu, katanya, sebagai pengendali pilihanraya yang bertanggungjawab kepada Perlembagaan Malaysia, SPR perlu memberikan perhatian kepada lebih 20 permohonan untuk didaftarkan sebagai parti politik, tetapi masih belum diluluskan.
Misalnya, kata beliau, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah memenuhi segala syarat untuk menjadi sebuah parti politik tetapi sejak 1 Mei 1998, permohonannya masih belum diluluskan.
"Oleh itu, Pemuda Keadilan mencadangkan agar pendaftaran parti politik diletakkan terus di bawah SPR bukan lagi di bawah Pendaftar pertubuhan.
"SPR harus menangani kegagalan Pendaftar Pertubuhan di bawah Kementerian Dalam Negeri kerana gagal mendaftarkan parti-parti politik yang bakal merancakkan ruang demokrasi di Malaysia.," tambahnya.
Menurut beliau lagi, SPR bukan sahaja perlu bebas tetapi dilihat sebagai bebas dalam mengendalikan satu pemilihan umum rakyat negara ini bagi memilih kerajaan mereka sendiri.
"Dunia kini melihat pilihanraya Malaysia hanya satu proses memberikan mandat baru kepada regim pemerintah sedia ada. Imej buruk pilihanraya Malaysia perlu diubah supaya negara ini dihormati dan kerajaannya disegani dunia," tambahnya.