Kerajaan PAS Kelantan bersetuju membiayai penghantaran pulang semua 1,006 penuntut anak negeri itu di Mesir untuk meneruskan pengajian mereka berikutan pergolakan di negara itu yang kembali pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco di Kuala Lumpur, malam semalam, yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Mereka yang terbabit terdiri daripada pelajar di bawah tajaan sama ada berbentuk biasiswa atau pinjaman dari Kerajaan Persekutuan atau negeri," katanya.

egypt revolution mubarak steps down crowd 1Beliau berkata mesyuarat exco itu diadakan di Kuala Lumpur berikutan berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara.

Mohd Amar berkata keputusan itu juga sebagaimana yang dipersetujui kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang yang akan menghantar balik anak negeri masing-masing ke Mesir untuk menyambungkan pengajian mereka apabila keadaan negara itu kembali pulih.

Sebahagian besar penuntut Malaysia di Mesir dibawa pulang sama ada menerusi Ops Piramid oleh Kerajaan Persekutuan ataupun pembiayaan sendiri berikutan krisis yang berlaku di negara itu.

MARA juga tanggung tiket

Di Putrajaya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menanggung tiket penerbangan kembali ke Mesir untuk 700 penuntut tajaannya yang pulang ke Malaysia menerusi Ops Piramid ketika berlaku pergolakan politik di negara itu, baru-baru ini.

Katanya, Mara mempunyai 1,500 penuntut tajaannya di Mesir dan daripada jumlah itu hanya 70 yang pulang ke Malaysia, manakala selebihnya tidak pulang kerana berada di tempat lain termasuk bercuti.

egypt revolution mubarak steps down huge crowd 1Bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama 101 ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pengurus kewangan syarikat milik agensi di bawah kementerian itu di sini hari ini, beliau berkata pengurusan Mara juga diminta memastikan keselamatan penuntut berkenaan sebelum mereka pulang ke Mesir.

"Perkara ini diuruskan dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)," katanya.

Mohd Shafie berharap syarikat penerbangan Air Asia dan Penerbangan Malaysia (MAS) dapat menyediakan pakej yang bersesuaian untuk menjimatkan kos penghantaran penuntut berkenaan.

"Kalau boleh kita buat pakej supaya dapat menjimatkan pebelanjaan dan saya yakin mereka (penuntut) boleh kita hantar dengan kos yang lebih rendah sebab jumlahnya ramai," katanya.

- Bernama