Gegar belum temui Jawatankuasa Khas
Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) masih berharap dapat mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan Islam, termasuk isu sekolah agama rakyat (SAR).
Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata walaupun ada laporan akhbar yang mengatakan bahawa kajian jawatankuasa tersebut hampir siap, Gegar masih mahu mengadakan perbincangan bersama mengenai perkara itu.
"Memanglah kami kesal dengan laporan itu. Namun, kami rasa ianya tidak menghalang hasrat kami untuk bertemu dengan jawtankuasa, khususnya dengan Tan Sri Murad Mohd Noor," katanya hari ini.
Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) masih berharap dapat mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan Islam, termasuk isu sekolah agama rakyat (SAR).
Setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata walaupun ada laporan akhbar yang mengatakan bahawa kajian jawatankuasa tersebut hampir siap, Gegar masih mahu mengadakan perbincangan bersama mengenai perkara itu.
"Memanglah kami kesal dengan laporan itu. Namun, kami rasa ianya tidak menghalang hasrat kami untuk bertemu dengan jawtankuasa, khususnya dengan Tan Sri Murad Mohd Noor," katanya hari ini.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas tentang laporan akhbar bahasa Melayu baru-baru ini yang memetik Murad sebagai berkata beliau mengalu-alukan pendapat semua pihak dalam membuat kajian mereka.
Sebelum ini pihak jawatankuasa tersebut telah mengatakan kesediaan mereka untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Gegar.
Menurut laporan itu, Murad berkata kajian tersebut hampir siap dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi induk jawatankuasa berkenaan.
Tiada masalah
Tarmizi juga berharap Gegar masih lagi boleh membentangkan pendapat dan kajian mereka tentang isu dan perkembangan terkini SAR.
"Kami difahamkan pihak jawatankuasa ada salinan memorandum yang terdahulu. Jadi kami ingin berjumpa mereka untuk menyampaikan laporan terkini kami," katanya lagi.
Sementara itu setiausaha jawatankuasa tersebut Izzudeen Effendi memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya tiada masalah untuk bertemu dengan Gegar.
"Kita akan berjumpa. Cuma tinggal masa dan tempat sahaja yang akan ditentukan. Kami akan memberitahu pihak di sana sebaik sahaja masa dan tempat perjumpaan itu dapat ditetapkan.
"Buat masa ini kami amat sibuk mengendali mesyuarat berhubung dengan kajian yang sedang dalam proses ini," katanya ketika dihubungi.
Tarikh baru
Beliau menyangkal sebarang dakwaan yang pihaknya keberatan untuk bertemu dengan Gegar dan menyatakan mereka telahpun bersedia untuk berjumpa dengan badan itu bulan lalu.
"Kami ada menetapkan masa, tempat dan tarikh untuk pertemuan dengan Gegar, tetapi ianya terpaksa dibatalkan kerana mereka ada hal penting pada hari yang sama," katanya lagi.
Tarmizi mengesahkah tentang pembatalan perjumpaan dan berkata: " Ya, bulan lepas kami perlu mengadap Sultan Kedah pada waktu yang sama untuk membincangkan isu SAR. Tapi sehingga kini tiada lagi rancangan susulan selepas itu."
Beliau menyeru kepada pihak jawatankuasa agar dapat mengadakan pertemuan dengan pihak Gegar dalam waktu masa yang terdekat.
Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Dr Mahathir mengumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.
Majlis Raja-Raja
Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaam. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.
Akhir tahun lepas , Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan memberi semula bantu perkapita sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isue SAR.
Sehubungan itu beberapa pihak, termasuk Gegar dan Dewan Pemuda PAS telah berusaha meminta jasa baik pihak istana untuk menyelamatkan SAR dengan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja bagi membantah tindakan kerajaan tersebut.
Dalam mesyuarat ke-196 Mac lalu, Majlis Raja-Raja telah mengarahkan jawatankuasa tersebut mengambil kira kesemua memorandum yang telah diserahkan kepada majlis tersebut.

