Polis sudahpun memulakan siasatan terhadap Harakah berikutan aduan daripada Majlis Rakyat Bertindak Kelatan (MTRK) terhadap akhbar lidah rasmi PAS yang didakwanya menghina kerajaan, Selasa lalu.

Dalam aduannya itu MTRK pimpinan Datuk Ibrahim Ali, berkata laporan muka depan akhbar itu memfitnah kerajaan kerana kononnya mendakwa kerajaan Malaysia menyokong pencerobohan Amerika ke atas Iraq.

Pengarang Harakah , Zulkifli Sulong memberitahu malaysiakini , beliau menerima panggilan telefon dari seorang pegawai dari Balai Polis Sentul petang semalam, mengenai arahan yang diterimanya untuk menyiasat kes itu.

Menurut Zulkifli, pegawai itu memberitahu beliau yang aduan itu akan disiasat mengikut Akta Hasutan.

Katanya lagi, pegawai berkenaan meminta kerjasama Harakah untuk mendapatkan bahan-bahan kes serta mengenalpasti penulis rencana asalnya yang disiarkan di muka empat Harakah .

Kepentingan politik

Harakah

keluaran pertengahan April lalu menyiarkan berita kenyataan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang bertajuk "Malaysia bantu Amerika" .

Tulisan asal Dr Syed Azman disiarkan sepenuhnya di muka surat empat Harakah keluaran yang sama.

Dalam tulisan itu, Dr Syed Azman, bekas seorang pensyarah Sains Politik Universiti Malaya berhujah, bantahan Malaysia terhadap serangan Amerika ke atas Iraq itu mempunyai kepentingan politik dan tidak ikhlas kerana Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Amerika terutama dari segi ketenteraan.

Ia dibuktikan melalui ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pidatonya di Amerika. Sedutan ucapan najib juga disiarkan dalam Harakah keluaran tersebut.

Keputusan bulan depan

Sementara itu, Zulkifli berkata mahkamah akan membuat keputusan mengenai perbicaraannya di bawah Akta Hasutan pada 2 Mei depan.

Sebelum ini, Zulkifli telah diperintahkan membela diri oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rosnani Abdul Rahman.

Zulkifli didakwa berikutan tersiarnya satu kenyataan oleh Dr Chandra Muzaffar dalam Harakah.

Chandra bagaimanapun tidak didakwa dan ketika diminta menjadi saksi kes ini oleh peguam Zulkifli, beliau enggan berbuat demikian.