Umno: usul Adun lantikan membazir
Umno menyifatkan usul yang dikemukakan oleh kerajaan PAS Terengganu untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari kalangan bukan Islam dan wanita, sebagai satu pembaziran.
Adun Umno Kawasan Ajil, Rosol Wahid, berkata ianya sudah memadai sekiranya mereka dilantik sebagai pegawai khas Menteri Besar.
Umno menyifatkan usul yang dikemukakan oleh kerajaan PAS Terengganu untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari kalangan bukan Islam dan wanita, sebagai satu pembaziran.
Adun Umno Kawasan Ajil, Rosol Wahid, berkata ianya sudah memadai sekiranya mereka dilantik sebagai pegawai khas Menteri Besar.
"Apa gunanya melantik Adun seumpama ini kerana mereka tidak boleh mengundi dalam dewan, dan cuma setakat memberi pendapat sahaja. Oleh itu, perlantikan mereka tidak ada maknanya," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Rosol mendakwa tindakan kerajaan PAS itu merupakan satu helah parti itu untuk tidak meletakkan calon wanita dan calon bukan Islam bertanding dalam pilihanraya umum.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas langkah kerajaan PAS Terengganu mengemukakan usul melantik Adun dari kalangan wanita dan bukan Islam sekiranya mereka tidak terpilih dalam pilihanraya umum.
Peruntukan itu adalah salah satu dari peruntukan dalam rang undang-undang pindaan perlembagaan atau undang-undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu.
Boleh dipecat
Perkara yang sama pernah disarankan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (foto) dalam satu sidang akhbar sebelum ini.
Jumlah Adun lantikan itu tidak melebihi empat orang dan tiap seorang hendaklah disokong tidak kurang dari tujuh Adun sedia ada dan memadai dengan majoriti mudah.
Mereka juga berhak bercakap dan menanggotai mana-mana jawatankuasa yang diputuskan tetapi tidak boleh mengundi. Mereka boleh dipecat sekiranya berkelakuan tidak senonoh atau berakhlak buruk.
Satu lagi peruntukan dalam rang-rang undang itu bertujuan menghendaki Sultan Terengganu merujuk kepada wali mangsa kesalahan di bawah undang-undang Qisas dan Takzir sebelum menjalankan kuasa keampunan ke atas orang Islam yang telah disabitkan kesalahan.
Sultan juga dalam pindaan itu diberi kuasa melantik seorang Menteri Besar baru sekiranya Menteri Besar yang ada meninggal dunia atau kekal tidak berupaya menjalankan tugas.
Dalam pindaan baru itu akan menjadikan al-Quran, as-Sunnah, ijma' ulama dan qias sebagai sumber asas perundangan syariah.
Satu lagi peruntukan penting dalam pindaan itu ialah untuk menubuhkan sistem tiga tingkat mahkamah syarak iaitu sebuah mahkamah rayuan syariah, sebuah mahkamah tinggi syariah dan sebuah mahkamah rendah syariah.

