Perdana Menteri berkata beliau masih tidak memahami pasaran saham. Perkara ini bukanlah masalah bagi ramai orang kerana mereka juga bersetuju bahawa tidak ramai yang memahami pasaran itu. Kata-kata PM itu menarik perhatian kerana bukan selalu beliau sedia merendah diri.

Seimbas lalu, kata-kata Perdana Menteri itu membayangkan beliau menilai purata harga saham di paras yang lebih tinggi daripada harga semasa. Dalam istilah pasaran saham, nampaknya beliau berupaya membeli saham dengan lebih banyak. Kata-kata ini merunsingkan rakyat Malaysia, kerana mereka beranggapan Perdana Menteri adalah peniaga utama.

Pada 29 Mac lalu, gabenor Bank Negara mengumumkan laporan tahunan bagi 2000, sambil memberikan gambaran ekonomi masa depan yang cerah. Tetapi, usaha itu gagal. Perbincangan itu menonjolkan cadangan untuk mengawal inflasi dengan menggunakan konsep biasa penawaran dan permintaan.

Laporan itu tidak pula menyebutkan kenaikan-kenaikan gaji kakitangan kerajaan, harga tol, petrol, tambang bas dan kesan semua ini terhadap pengguna. Pertambahan mendadak surat janji perbendaharan (dulu cuma RM300 juta, kini melonjak lebih RM7 bilion) tidak pula disentuh. Begitu juga wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan dana-dana tempatan lain yang digunakan untuk menampung hutang negara yang bertimbun-timbun.

Negara ini membayar hutang kira-kira 16 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia masih dianggap rendah, itupun tanpa mengambil kira jumlah keseluruhan hutang. Kerana kadar inflasi secara rasmi masih rendah, kadar faedah juga rendah, maka kos perkhidmatan melunaskan hutang negara menjadi rendah.

Melunaskan hutang

Perkembangan ini malang bagi dana-dana, kerana menerima faedah yang rendah dan sekali gus pencarum turut menerima dividen yang rendah. Rahsia ini terletak pada kadar inflasi rendah seperti yang diumumkan kerajaan. Nampaknya pegawai-pegawai di Jabatan Perangkaan tidak mengira.

Laporan tahunan itu tidak memberikan jumlah sebenar negara ini cuba membayar hutang-hutangnya, hanya sekadar memberikan peratusan daripada keseluruhan KDNK. Banyak pihak beranggapan cara ini tidak telus kerana kadar bunga tahunan hutang negara ini dibayar daripada pendapatan tahunan kerajaan pusat. Oleh itu keadaan sebenar jauh lebih megejutkan daripada hanya memaklumkan 'cuma 16 peratus daripada KDNK' seperti laporan Bank Negara. Laporan-laporan lain dalam dokumen itu menggunakan teknik muslihat yang sama untuk mengelirukan.

Rancangan berjaga-jaga, untuk menampan kesan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat, diumumkan dengan penuh gah dan suasana ceria. Ia mengesyorkan pendapatan negara dibelanjakan tanpa hadnya. Tetapi rakyat pembayar cukai dan lesen, sama ada swasta atau korporat, tidak berasa apa-apa. Mereka sedar Malaysia kini semakin terjebak dalam lubuk hutang.

Laporan tahunan itu menyebutkan seolah-olah wang tunai mudah diperolehi, wang berada di mana-mana menunggu masa untuk dipinjam dan dibelanjakan. Namun, keadaan memenatkan ialah untuk mendapatkan pinjaman luar. Pinjaman yang bernilai AS$1 bilion (RM3.8 bilion) amat diperlukan segera. Kita diberitahu bahawa menetapkan mata wang kita dengan dolar Amerika adalah amalan baik, dan ia berjalan dengan baik, dan akan dilanjutkan. Begitulah yang digambarkan oleh laporan itu.

Ringgit hanya berharga apabila seseorang sedia menggunakan nilainya, bukan mengikut kata kerajaan tentang nilai matawang itu. Ringgit kini hanya boleh diniagakan di Malaysia, dan tidak boleh dibawa ke luar negeri. Ia tidak mempunyai harga di negara luar, dan di negara kita nilai ringgit makin merosot.

Pasaran ala kartun Mickey Mouse

Pelancong menggunakan ringgit, seperti juga mereka yang mahu membeli barangan Malaysia. Pelancong dan peniaga asing inilah dua sumber utama tukaran wang asing. Tetapi sumber ini juga semakin berkurangan hari demi hari. Bank Negara terpaksa berbuat sesuatu untuk mendapatkan lagi sumber bekalan wang asing. Ia boleh dilaksanakan dengan bergantung pada permintaan tempatan. Tetapi, di pasaran tempatan tidak terdapat sumber wang asing.

Kerana itu keselamatan ekonomi Malaysia terpaksa bergantung kepada pertunjukan kupu-kupu, ekspo perdagangan dan perlumbaan kereta lumba untuk memancing pelancong asing yang akan membawa masuk matawang negara masing-masing dan mereka berbelanja di sini pada kadar pertukaran yang ditetapkan.

Pentadbiran negara yang diketuai oleh Perdana Menteri menguasai korporat-korporat utama di negara ini, secara langsung atau tidak. Berjuta-juta unit saham dijadikan cagaran ketika membuat pinjaman di bank, oleh itu nilai saham perlu dikekalkan pada paras tinggi untuk mengelakkan margin call . Akibatnya, pasaran saham dipenuhi segala bentuk manipulasi. Keadaan inilah yang menyebabkan wujud suasana kini, bahawa "pasaran saham kita akan terus dianggap seperti pasaran ala (watak kartun) Mickey Mouse sahaja."

Syarikat-syarikat besar yang dikuasai oleh kerajaan merupakan komponen penting ekonomi negara. Mereka terbabit dalam setiap urus niaga, sama seperti pengguna. Mereka juga mencari keuntungan, sambil bersaing dengan syarikat biasa, tetapi mendapat manfaat daripada perlindungan kerajaan. Keadaan ini bukannya persaingan yang sihat kerana tidak ada sebarang hukuman bagi salah urus dan penyelewengan dalam syarikat-syarikat itu yang ada hubungan dengan kerajaan.

Seorang peniaga yang jujur tidak mampu barsaing dengan adil dalam pasaran seumpama Malaysia. Lebih-lebih lagi kalau keadaan perniagaan dikuasai oleh pasukan yang ditaja oleh perdana menteri. Para pengunjung lakonan pentas pun fahamlah bahawa apabila sesuatu babak itu berakhir, maka tamatlah khayalan yang dilakonkan itu.


HARUN RASHID seorang ahli sains yang berminat mengguna pakai prinsip-prinsip Islam dalam hal ehwal hubungan antarabangsa. Kerjasama melalui dialog peradaban merangsang tulisannya. Kolum 'Worldview' dalam malaysiakini adalah analisis peribadinya tentang perkembangan Malaysia dari sudut pandangan sejagat. Tulisan ini asalnya diterjemahkan oleh penulis web 'Marhain Tua' dan diterbitkan selepas disunting.