KPN diminta ambil tindakan
Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai supaya mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota polis yang didakwanya bertindak kasar sewaktu berlangsungnya perhimpunan aman dan upacara sembahyang di Batu Caves semalam.
Setiausaha Agung penaja Prim, P Uthayakumar mendakwa
kekecohan
berlaku di perhimpunan itu apabila beberapa anggota polis bertindak seperti samseng menyebabkan orang awam dipukul dan cedera, termasuk beberapa orang wanita.
Setakat ini, katanya, tiga laporan polis telah dibuat manakala seorang awam dirawat di hospital kerajaan berikutan kejadian itu.
Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai supaya mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota polis yang didakwanya bertindak kasar sewaktu berlangsungnya perhimpunan aman dan upacara sembahyang di Batu Caves semalam.
Setiausaha Agung penaja Prim, P Uthayakumar mendakwa kekecohan berlaku di perhimpunan itu apabila beberapa anggota polis bertindak seperti samseng menyebabkan orang awam dipukul dan cedera, termasuk beberapa orang wanita.
Setakat ini, katanya, tiga laporan polis telah dibuat manakala seorang awam dirawat di hospital kerajaan berikutan kejadian itu.
Gesaaan Uthayakumar itu terkandung dalam sepucuk surat yang dihantarnya kepada Norian hari ini.
Beliau juga mendakwa dalam surat itu, seorang anggota polis telah merampas antara lain, pita rakaman dan rantai emas milik P Krishnasamy yang turut membuat laporan polis semalam.
Uthayakumar juga menggesa supaya tindakan juga diambil ke atas anggota polis yang telah mengambil gambar dan pita rakaman serta terhadap 'samseng-samseng' yang turut berada bersama polis di situ, serta bertindak memukul orang awam.
Mengugut
Beliau dukacita dengan tindakan pasukan polis terbabit, yang sepatutnya melindungi rakyat dan bukannya menganiayai mereka.
"Oleh itu, kami mahu tindakan jenayah atau tatatertib diambil ke atas anggota-anggota polis berkenaan dan juga samseng-samseng terbabit dalam tempoh dua minggu, dari hari ini dan memaklumkan keputusan siasatan itu kepada kami," tambahnya.
Menurutnya, rakyat mempunyai hak berhimpun mengikut Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 8 yang membenarkan kebebasan berhimpun secara aman dan kebebasan beragama.
Uthayakumar juga mendakwa Timbalan Ketua Polis Daerah Selayang, Penguasa Abu Bakar Johar telah bercakap kasar dan cuba menghalang serta menghalau para peguam yang berada di balai polis itu untuk menemani mereka yang ditahan di situ.
Malahan, katanya, pegawai polis berkenaan juga telah mengugut untuk menahan para peguam terbabit, tetapi ianya tidak dilaksanakan.
Sementara itu, naib ketua Pemuda Keadilan Selangor, S Manikavasagam memberitahu malaysiakini, beliau turut membuat aduan polis di Balai Polis Selayang berikutan penahanan dua rakannya serta, kelakuan kasar anggota polis di satu perhimpunan di Batu Caves semalam.
Laporan polis
Mereka yang ditahan itu P Rajasegaran dan setiausaha MIC Bukit Kayu Ara, P Kanniah.
Manickavasagam mendakwa seorang anggota polis, yang berpakaian biasa, dari Balai Polis Selayang telah menghentaknya dari belakang sambil menarik rantai lehernya serta mengheretnya ke kenderaan polis yang berhampiran.
Menurutnya, setibanya di kenderaan polis itu, anggota polis berkenaan, menolaknya ke arah seorang lagi anggota polis berunifom, sehingga rantainya terputus.
"Anggota polis itu tidak ambil endah ketika saya bertanya tentang rantai leher saya itu," katanya.
Menurut Manickavasagam lagi, Rajasegaran pula dipukul oleh seorang anggota polis yang turut mencampakkan kameranya ke dalam kereta polis.
Kanniah pula, katanya, ditumbuk di leher oleh seorang lagi anggota polis berpakaian biasa.
Sembahyang khas
Bagaimanapun, kata Manickavasagam, beliau dan seorang lagi rakannya S Arumugam, anggota parti Keadilan dari Klang, tidak ditahan dan dibiarkan di situ.
Kanniah dan Rajasegaran pula ditahan dan dibawa ke Balai Polis Selayang. Mereka hanya dibebaskan pada jam 6.15 petang.
"Pihak polis bertindak kasar seperti samseng. Jadi saya membuat aduan terhadap anggota polis itu dan satu lagi aduan mengenai kehilangan rantai leher dan kamera itu," katanya.
Menurut Manickavasagam lagi, selepas itu, satu sembahyang khas diadakan untuk bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya segera dibebaskan.
Ketika itu, katanya, masih ada anggota polis di situ tetapi tidak berlaku sebarang kekecohan.
Turut berada di situ ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti Keadilan, N Gobalakrishnan, dan ketua penerangan Pemuda Keadilan, Badrul Hisham Shaharin.

