Wartawan, kebebasan akhbar dan agenda Barat
Akhbar Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya akhbar itu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar daripada pewarisnya seperti mana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.
Dalam Utusan Melayu , wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka juga adalah pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti (Umno).
Kalau sampai masanya Utusan tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya akhbar itu telah kehilangan jati diri.
Kepada Pak Said (Zahari), mogok Utusan Melayu yang dikepalainya mulai Julai hingga Oktober 1961 bukan sahaja sebahagian daripada sejarah penting Utusan Melayu sendiri, bahkan juga sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air yang tidak boleh dipadamkan daripada lembaran sejarah. Demikian hakikatnya, sama ada kita suka atau tidak.
Kepada saya, mogok ini merupakan puncak penglibatan para wartawan Utusan Melayu secara langsung dalam percaturan politik tanah air dan negara.
Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka juga adalah pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti (Umno).
Kalau sampai masanya Utusan tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya akhbar itu telah kehilangan jati diri.
Kepada Pak Said (Zahari), mogok Utusan Melayu yang dikepalainya mulai Julai hingga Oktober 1961 bukan sahaja sebahagian daripada sejarah penting Utusan Melayu sendiri, bahkan juga sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air yang tidak boleh dipadamkan daripada lembaran sejarah. Demikian hakikatnya, sama ada kita suka atau tidak.
Kepada saya, mogok ini merupakan puncak penglibatan para wartawan Utusan Melayu secara langsung dalam percaturan politik tanah air dan negara.
Dibandingkan dengan pengarang-pengarang sebelumnya dan selepasnya, Pak Said tidak sekadar melibatkan dirinya dalam perjuangan politik tetapi telah melibatkan seluruh organisasi Utusan Melayu daripada bahagian kewartawanan kepada pengilangan ke dalam kancah perjuangan politik untuk menegaskan konsep nasionalisme asal Utusan Melayu - pada tanggapan Pak Said - yang tidak boleh ditolak-ansurkan sekalipun realiti tanah air telah berubah.
Apakah mogok ini merupakan suatu perjuangan untuk pembebasan akhbar atau untuk ketahanan dan kebebasan nasionalisme, sosialisme dan komunisme yang menghadapi cabaran dan kemaraan daripada westernization (pembaratan) dan kapitalisme Barat? Biarlah anda menjawab pertanyaan ini setelah selesai membaca Meniti Lautan Gelora.
Kesengsaraan cinta
Mogok ini yang gagal telah mendorong perjuangan politik Pak Said dengan lebih kental di luar dunia kewartawanan sehingga menjerumuskannya dalam penjara selama 17 tahun di Singapura, suatu jangka masa tahanan yang tidak boleh diterima oleh akal dan pemikiran waras sebagai kewajaran dalam era masyarakat manusia dan kemanusiaan dunia bertamadun.
Pak Said tidak mungkin menghadapi keadaan yang sama di Malaysia kerana apabila (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kuasa pada 1981, beliau dengan segera mengambil tindakan membebaskan 21 orang tahanan politik, termasuk Pengerusi Parti Rakyat Malaysia, Kassim Ahmad dan dua orang anggota Dewan Rakyat DAP.
Sesiapa yang membaca buku ini, sama ada berada di pihak Pak said atau di pihak lain, akan dapat melihat dengan jelas bahawa pemenjaraan selama 17 tahun tetap tidak mematahkan jiwa dan perspektif politik Pak Said.
Dalam prakata bukunya mengenai penahanannya, Pak Said berkata: "Saya juga menulis buku ini kerana didesak oleh bisikan hati kecil yang sewaktu-waktu membuat saya berasa bersalah besar terhadap isteri dan anak-anak saya yang masih kecil. Semasa saya tertangkap, isteri tersayang, Salamah baru berumur 27 tahun, dan anak-anak berumur antara satu dan enam tahun. Perkahwinan kami berusia tujuh tahun ketika (saya) masuk penjara dan umur saya 34 tahun."
Hari ini kita mengkagumi dan tergetar perasaan terhadap ketabahan dalam kesengsaraan cinta dan jiwa yang dialami oleh anak-anak, isteri dan suami yang terpisah sekian lama ketika masih muda.
Hari ini kita sekadar dapat memberikan tabik hormat kepada Salamah dan anak-anak yang telah membuktikan kesetiaan dan pengorbanan yang terlalu besar kepada suami untuk dilukiskan dengan kata-kata. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul; betapa hebat curahan rasa dan bahasa, tidak sehebat seksaan perpisahan panjang dan masa yang indah terbuang.
Apapun dikatakan tentang penahanan Pak Said, tetapi ia bukanlah kerana rasuah dan skandal tetapi adalah perjuangan politik, kerana sebuah keyakinan yang tidak pernah luntur.
Saya berasa amat bangga dalam keruncingan politik negara sekarang ini, Pak Said adalah hanya antara berapa kerat pejuang antikolonialisme yang tidak hilang perspektif politiknya kerana prejudis politik, yang tidak menyekutukan dirinya dengan golongan reaksioner (reactionary) yang mahu menjadikan agama sebagai candu dan terlihat bersekongkol dan melangkah senada dengan agenda Barat dan media Barat dengan bertopengkan kebebasan dan globalisasi tetapi berorientasikan neokolonialisme.
Mansuh akta bukan pejuang
Saya agak terpegun apabila pada suatu malam, Pak Said telah muncul dalam rancangan berita RTM, menyeru media massa di negara ini agar bangun, serentak dan sederap untuk menentang agenda media Barat dengan teratur dan berkesan. Beliau disertai oleh saudara Kassim Ahmad.
Pak Said mengkagumi penentangan kepimpinan Malaysia terhahap oligarki Barat-(George) Soros di Hong Kong sehingga akhirnya menggoncangkan dunia. Tidak banyak lagi orang yang jelas perspektif seperti Pak Said yang lebih dapat melihat kebenaran dalam kekaburan. Saya berbangga, turut hadir bersama kita seorang lagi sepertinya iaitu saudara Kassim Ahmad, yang sanggup datang dari Pulau Pinang untuk menyertai hari besar ini bagi Pak Said.
Cuma satu perkara yang saya agak kesalkan yang tersebut dalam buku ini tetapi ini mungkin di luar pencapaian maklumat Pak Said iaitu, tentang 580 wartawan yang menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang dianggap oleh Pak Said sebagai pejuang untuk kebebasan akhbar.
Saya ingin bertanya: Adakah layak bagi wartawan-wartawan dari negara-negara yang perut rakyatnya belum bebas daripada kelaparan dan boleh diupah dengan sebungkus nasi untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk datang dan bercakap mengenai kebebasan persuratkhabaran di negara kita, untuk mengajar wartawan-wartawan Malaysia tentang hak dan kebebasan?
Nasib politik mereka sendiri tidak dapat ditentukan oleh mereka. Malah ada sebuah negara yang kerajaannya boleh dijatuhkan dan dinaikkan oleh kalangan perniagaan Amerika. Apakah kewibawaan mereka untuk bercakap tentang hak dan kebebasan rakyat di negara ini?
Saya dapat maklumat pada tahun ini pertubuhan yang sama ini hendak membawa pula seorang wartawan dari Amerika Syarikat untuk bercakap di suatu seminar bersempena dengan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Alat kuasa asing
Pertubuhan seumpama ini kebanyakannya menggunakan wakil (expatriate) dari negara-negara miskin dan mereka mudah menjadi invisible armed [sic] of the Western powers (tangan ghaib bagi kuasa Barat).
Saya meragui kewibawaan apa yang dikatakan 580 orang wartawan yang langsung tidak disertai oleh wartawan Melayu yang menjadi tunjangan kepada kewartawanan nasional dan juga tidak disertai oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia yang sah mewakili para wartawan tanah air.
Saya berharap wartawan kita harus mempunyai harga diri dan tidak mudah dibeli idealisme mereka.
Jika kita memberikan pengiktirafan kepada pertubuhan-pertubuhan yang tidak berdaftar atau tindakan orang perseorangan yang diiktiraf sebagai wartawan negara ini, maka ini bererti kita sendiri menolak etika kewartawanan yang berasaskan kepada sumber yang sah, badan yang sah dan diiktiraf dan kita sendiri menggalakkan anarkisme (anarchism) dalam dunia kewartawanan di negara ini.
Anasir yang diperalatkan oleh pertubuhan tertentu - terutamanya yang berselindung di sebalik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memperjuangkan apa yang dikatakan sebagai kebebasan akhbar di Malaysia - sebenarnya menjadi alat kepada kuasa asing yang ditentang oleh Pak Said sejak 40 tahun dahulu, tetapi sekarang mereka datang dalam bentuk lebih menarik, lebih mengelirukan untuk dikenali.
Saya telah sedikit sebanyak memberikan teaser kepada buku Meniti Lautan Gelora karya Said Zahari yang telah saya tamat membacanya.
Secara ikhlas saya ingin menyatakan bahawa saya telah terperangkap apabila membaca buku ini.
Dengan bahasa kewartawanannya yang mudah, terang, bersahaja dan bertenaga, Pak Said memerangkap dan mendorong kita untuk terus membaca dari satu bab ke satu bab lain tanpa jemu.
Senator Datuk ZAINUDDIN MAIDIN, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, kini sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Penerangan. Tulisan ini asalnya (sedutan) teks ucapan beliau pada 3 April lalu ketika melancarkan buku tokoh wartawan dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari, Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik. Ia diterbitkan dalam siri wacana sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei depan.

