penterjemahan Presiden parti Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M Kayveas menyarankan supaya kerajaan menutup semua rendah jenis kebangsaan Tamil demi masa depan yang lebih baik bagi kanak-kanak keturunan India di Malaysia, demikian menurut satu laporan akhbar hari ini.

Katanya, langkah itu perlu bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi taraf sosio-ekonomi masyarakat India yang sebahagian besarnya masih hidup kemiskinan.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, memetik Kayveas sebagai berkata, ibubapa perlu menyedari bahawa anak-anak mereka memerlukan pendidikan yang sempurna di sekolah-sekolah yang boleh menggalakkan persaingan.

"Anak-anak boleh belajar di sekolah lain seperti sekolah kebangsaan (menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar) ataupun di sekolah rendah Cina. Kedua-dua anak saya kini belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina," katanya kepada akhbar berkenaan.

"Kita harus menerima hakikat bahawa pelajar dari sekolah Tamil tidak mempunyai persediaan secukupnya untuk menerima pendidikan sama ada dalam Bahasa Melayu dan Inggeris apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Sekolah rendah di Malaysia dibahagikan kepada dua kategori - sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah rendah jenis kebangsaan yang menggunakan bahawa pengantar Mandarin atau Tamil.

Sekolah wawasan

Kayveas, juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menyatakan, satu lagi masalah utama yang dihadapi oleh sekolah Tamil ialah kekurangan prasarana kerana kekurangan belanjawan.

"Dalam keadaan sedemikian, murid sekolah Tamil mudah dipengaruhi oleh kegiatan jenayah ataupun mereka kekal dalam keadaan miskin," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan selepas sekolah Tamil ditutup, pembelajaran bahawa Tamil hendaklah diwajibkan kepada semua murid India di sekolah kebangsaan supaya bahasa ibunda mereka diabaikan.

Beliau turut menyokong dan memuji konsep Sekolah Wawasan di mana sebuah sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan Tamil berkongsi kawasan dan kemudahan yang sama, untuk memupuk dan menggalakkan integrasi antara kaum.

"Saya rasa sekolah kebangsaan sudah cukup lengkap untuk menampung keperluan pendidikan rakyat Malaysia. Jika kerajaan menjadikan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran wajib (untuk murid India) di sekolah kebangsaan, maka kita bolehlah menutup sekolah Tamil," katanya.

Mengulas saranan itu, ahli pendidik Tamil, SP Pathi menegaskan bahawa presiden PPP itu "tidak layak untuk memberi pandangan mengenai sekolah atau pendidikan Tamil kerana beliau bukanlah seorang ahli pendidik atau ahli sosiologi."

Kegiatan jenayah

Menurutnya, Tabung Pembangunan dan Penyelidikan Pendidikan Tamil Malaysia (MTERDF), yang turut dianggotainya, bersedia berdebat dengan Kayveas mengenai pendidikan Tamil pada bila masa dan di mana sahaja".

"Ia tidak membawa apa-apa perbezaan jika jika mengajar bahasa Tamil di sekolah kebangsaan kerana pendidikan bahasa ibunda bukan hanya soal bahasa semata-mata. Ianya adalah mengenai jiwa, budaya dan warisan masyarakat berkenaan," kata Pathi, seorang peguam dan penasihat jabatan pengarang majalah bulanan Tamil, Sembaruthi.

"Bagunan sekolah mungkin usang tetapi ia ada jiwa...dan kaum India perlukannya. Apabila bahasa itu mati, maka sesuatu yang unik turut mati bersamanya."

Mengenai dakwaan bahawa pelajar sekolah Tamil mudah terjebak dalam kegiatan jenayah, Pathi berkata, Kayveas lupa pada hakikat bahawa ramai pelajar terbabit datangnya dari keluarga miskin.

"Saya ada 20 rakan yang belajar di sekolah aliran Cina dan mereka sekarang adalah anggota kongsi gelap. Alasannya ialah kerana mereka dari golongan bawahan...latar belakang sosio-ekonomi yang mempengaruhi pencapaian mereka, dan bukannya warna kulit atau bahasa," kata Pathi.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Kayveas boleh memberi jaminan bahawa prestasi pelajar sekolah Tamil dapat meningkatkan jika mereka dipindahkan ke sekolah lain.

Tidak layak

"Separuh daripada mereka tidak pun mendapat sarapan yang sempurna. Bolehkah Kayveas pastikan mereka diberi makanan secukupnya di sekolah lain?" tanya Pathi lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Dong Zong, Dr Yap Sin Tian turut menyokong pandangan ahli-ahli pendidikan Tamil sambil menegaskan bahawa Kayveas tidak menyaran sedemikian kerana bahasa ibunda dijamin di bawah Perlembagaan Negara.

Beliau juga kesal kerana Kayveas membuat kenyataan yang kontroversi berhubung pendidikan bahasa ibunda walaupun "beliau mempunyai kefahaman yang cetek mengenai perkara itu"

"Tahun lepas, ketika kumpulan pendidikan Tamil menentang pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, Kayveas langsung tidak memperdulikan suara mereka. Beliau bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang pendidkan" kata Dr Yap.

Terdapat kira-kira 520 sekolah Tamil dengan seramai 90,000 pelajar. Kebanyakan sekolah ini terletak di kawasan estet di bawah sistem yang diperkenalkan semasa zaman penjajahan British.

Rakyat keturunan India merupakan 9 peratus daripada 22.2 juta penduduk Malaysia. Ia merupakan etnik ketiga terbesar selepas bangsa Melayu (kira-kira 58 peratus) dan Cina (kira-kira 28 peratus).