Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dibenarkan beroperasi di Johor.

Malah, kata Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Johor, Hamzah Ramli, kerajaan negeri sentiasa memberikan bantuan kepada SAR yang berdaftar di negeri itu.

Bernama

memetik beliau sebagai berkata, kerajaan Johor tidak mengharamkan mana-mana SAR yang mahu beroperasi di negeri ini asalkan mereka berdaftar secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Hamzah menjelaskan demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman di Johor Bahru hari ini.

Mengenai dakwaan pengharaman enam SAR di Johor, Hamzah menjelaskan kesemua sekolah terbabit yang mempunyai lebih 700 murid, didapati tidak berdaftar dengan JAIJ dan JPN.

Selesai

"Kewujudan sekolah itu dikesan kira-kira sebulan lalu yang mengajar agama Islam tanpa mengikut sukatan pelajaran JAIJ dan JPN," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu sudah selesai selepas kesemua pelajar terbabit meneruskan pelajaran di sekolah kebangsaan pada sesi pagi dan mengikuti pelajaran agama pada sebelah petang di SAR berkenaan, selepas sekolah berkenaan didaftarkan.

Enam SAR terbabit ialah Sekolah Rendah Agama Tanwiriah Parit Jawa, Muar, SAR Tangkak dan SAR Serom, kedua-duanya di Muar, SAR Sengarang di Batu Pahat dan SAR Mersing di Mersing.

Hamzah juga berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan seminar dua hari mulai 10 Mei ini di Johor Bahru untuk 524 guru takmir yang mengajar agama di surau dan masjid di negeri itu.

Melalui seminar itu, katanya, para peserta akan diberi penerangan yang jelas berkaitan beberapa isu berbangkit, termasuk pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, keselamatan dalam negara, hudud PAS dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.