Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata beliau akan bersara daripada politik jika parti meminta berbuat demikian.

Lim menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Perak Fan Yew Teng dalam The Star hari ini yang mahukan Lim dan Timbalan Pengerusi Karpal Singh meletakkan jawatan selepas parti itu menerima kekalahan yang memalukan dalam pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak akan mempertahankan apa-apa jawatan dalam parti jika pemimpin parti bersetuju dengan Fan Yew Teng agar saya bersara daripada politik," katanya.

Fan berpendapat dua pemimpin tersebut sepatutnya bertanggungjawab ke atas pencapaian buruk DAP kerana merekalah yang beria-ia menyokong pakatan parti itu dengan PAS dalam Barisan Alternatif, tindakan yang dianggapnya satu kesilapan.

Lim menjelaskan bahawa beliau menghormati pandangan Fan tetapi mempertahankan keputusan DAP untuk bekerjasama dengan PAS dalam BA adalah "betul, sesuai, mulia dan terpuji."

"Ini kerana tidak ada satu pun parti, sama ada DAP, PAS, atau KeADILan bersendirian, mampu mengurangkan majoriti dua per tiga Barisan Nasional, tetapi melalui pakatan itu, BA berpeluang mencapai hasrat itu untuk merampas 70 hingga 75 buah kerusi Parlimen," tambahnya lagi.

Beliau juga menjelaskan bahawa bukan mereka berdua sahaja yang memutuskan untuk bekerjasama dengan PAS.

"Kongres Kebangsaan DAP menerima sebulat suara resolusi di Kuala Lumpur pada 9 September dan menyokong kerjasama DAP dengan parti-parti pembangkang yang lain untuk menafikan penguasaan BN bagi memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan menegakkan pentadbiran kerajaan yang baik," jelas Lim.

Lim turut menambah bahawa Fan sendiri turut menyokong resolusi berkenaan.

"Saya ingin mengesahkan, bagaimanapun, Fan sudah dua kali mencadangkan dalam sesi perbincangan agar DAP berpisah dari PAS dan menarik diri dari BA, tetapi dia tidak mengulangi desakan itu dalam Kongres Kebangsaan Pilihanraya Umum parti itu yang terakhir pada 14 November," katanya.

Ahli Parlimen DAP bagi Seputeh Teresa Kok menyatakan rasa terkilan terhadap sikap Fan itu kepada malaysiakini. Beliau bersetuju bahawa pakatan DAP dengan PAS merupakan keputusan parti.

"Dakwaan Fan itu tidak benar. Keputusan untuk bekerjasama dengan PAS dibuat secara kolektif dalam jawatankuasa pusat dan bukannya dibuat oleh dua pemimpin utama parti itu," jelasnya.

Beliau menambah kerjasama DAP dengan PAS merupakan peluang terbaik untuk mengurangkan penghalang hubungan antara kaum di negara ini, khususnya antara Cina dengan Melayu.

"Walaupun DAP menerima padah, kami masih lagi mampu mengaut sejumlah besar undi Melayu yang sebelum ini menganggap DAP sebagai sebuah parti untuk kaum Cina," jelas Kok.

Menurut Lim lagi, walaupun pakatan itu menerima banyak kritikan, parti itu akan meneruskan kerjasama dalam BA "kecualilah PAS menyulitkan keadaan kerjasama itu melalui sikap kurang peka dan tidak hormat dua kerajaan yang dimenangi PAS, Kelantan dan Terengganu terhadap hak dan sensitiviti pelbagai kaum dan agama di Malaysia."

Fan, bekas Ahli Parlimen DAP pernah meninggalkan parti itu dalam tahun 1980-an tetapi kini menyertainya semula, merupakan seorang pemimpin yang lantang mendesak Lim meletakkan jawatan. Usaha malaysiakini untuk mendapatkan pandangan Fan dari kediamannya di Ipoh gagal.