Persatuan Kebangsaan Sekolah Agama Malaysia (Perkasa) menerima aduan dari sebilangan sekolah agama rakyat (SAR) di Kedah mengenai kehadiran anggota polis cawangan khas (SB) untuk memantau perjalanan sekolah mereka.

"Kami diberitahu yang pegawai SB berkenaan mengunjungi sekolah-sekolah terbabit untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan pentadbiran sekolah, seperti bilangan guru, pelajar, tangga gaji guru dan sebagainya," kata timbalan presiden Perkasa, Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz.

Berdasarkan maklumat yang diterima, katanya, hampir kesemua sekolah agama rakyat di Kedah telah dikunjungi polis selepas isu SAR mendapat tumpuan media berikutan tindakan kerajaan menarik balik bantuan perkapita September lalu.

Beliau juga mendakwa beberapa sekolah di Perak turut dipantau anggota polis cawangan khas kerana merentang sepanduk 'selamatkan sekolah agama rakyat' di sekolah mereka.

"Mereka kata pihak polis datang ke sekolah dan menasihati mereka supaya menurunkan sepanduk berkenaan rerana takut berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Mereka akur dengan arahan itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Perkasa juga ada menerima maklumat mengenai seorang ahli jawatankuasa kerja (AJK) di sebuah sekolah agama rendah di Pulau Pinang yang ditahan kerana cuba menampal poster 'selamatkan SAR'.

Kerjasama

"Saya diberitahu orang itu ditahan polis ketika sedang menampal poster berdekatan sekolahnya, tetapi saya tidak pasti apakah tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, seorang guru sebuah sekolah agama rakyat di Kedah mengesahkan bahawa sekolahnya kerap dikunjungi anggota polis cawangan khas sejak akhir-akhir ini.

"Mereka datang waktu sekolah dan meminta maklumat seperti nama ahli jawatankuasa tadbir sekolah, guru dan pelajar. Walaupun kami tidak menunjukkan rekod asal tetapi kami salin nama-nama berkenaan ke kertas kosong dan memberinya kepada mereka," katanya.

Beliau mengakui pihak sekolah merasa tidak senang dengan kunjungan pihak polis, tetapi setelah berbincang, mereka bersepakat untuk memberi kerjasama setakat yang termampu kerana tidak mahu bermusuh dengan pihak polis.

"Mereka datang cara baik, jadi kami layan cara baik. Kami tidak segan memberitahu pihak polis aspirasi sekolah kami dan mengenai selok-belok pentadbiran kami.

"Kami ada tanya kenapa mereka tiba-tiba mahu mendapat maklumat tentang SAR. Mereka kata mereka mendapat arahan untuk mengemaskinikan data-data mengenai sekolah agama dari masa ke semasa," kata guru yang tidak mahu namanya disebut.

Gangguan

Malah, menurut beliau lagi, ada sesetengah sekolah yang dikunjungi polis setiap dua minggu.

"Walaupun begitu, kami rasa tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Tidak ada benda yang hendak kami sorok kerana kami ikhlas memberi pendidikan Islam kepada pelajar Melayu," katanya lagi.

Sementara itu, Wan Tarmizi melahirkan rasa kesalnya dengan 'gangguan' pihak polis terhadap SAR kerana mereka sepatutnya mendapat maklumat tersebut melalui birokrasi pendidikan yang sedia ada.

"Saya pohon mereka yang ingin maklumat tentang mana-mana sekolah, mendapat keizinan Jabatan Agama Islam negeri atau Jabatan pendidikan.

"Saya juga ingin menekankan bahawa pengetua sekolah berhak menolak permintaan mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai sekolah terbabit tanpa surat kebenaran dari Jabatan Agama Islam dan jabatan pendidikan," tegasnya.

Sehubungan itu, ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar menyifatkan tindakan itu menunjukkan bagaiman kerajaan memperalatkan pihak polis dalam mencapai matlamat mereka untuk menutup SAR.

Perintah mahkamah

"Saya mendapat aduan bahawa polis cawangan khas datang ke kebanyakan SAR di Kedah dan bertemu dengan pengetua. Mereka bertanya kepada pengetua jika mereka telah mendapat surat penutupan sekolah dari pihak kerajaan," katanya.

Mahfuz juga mendakwa polis cawangan khas berkenaan juga meminta pihak sekolah memberi maklumat tentang guru dan pelajar sekolah berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai satu "gangguan psikologi" terhadap SAR bagi menakut-nakutkan semua yang terlibat dalam operasi sekolah terbabit.

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, juga menegaskan pihak polis tiada hak memina maklumat mengenai sekolah terbabit, tanpa waran atau perintah mahkamah, yang selalunya dikeluarkan jika ada kes jenayah di sekolah.

"Hanya Jabatan Agama Islam negeri atau Kementerian Pendidikan mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat mengenai guru atau pelajar. Saya mahu polis menghentikan perbuatan ini," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan sekolah-sekolah terlibat atas sebab-sebab keselamatan.

Istana

Sementara itu, setiausaha Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Sultan Terengganu telah memberi komitmen baginda untuk membawa isu SAR ke persidangan Majlis Raja-Raja pertengahan bulan depan.

Dalam pertemuan selama 45 minit dengan pengerusi Gegar Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil Perkasa, Sultan Mizan Zainal Abidin diberi taklimat terperinci mengenai isu membabitkan SAR selepas kerajaan memberhentikan bantuan perkapita tahun lalu.

Dalam pertemuan itu juga, baginda berkenan menerima memorandum mengenai SAR daripada Gegar dan Perkasa.

Sementara itu, wakil Perkasa Kelantan, Mohd Radhi Ismail berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan perkenan Sultan Kelantan bagi menerima mereka mengadap dan menyerahkan memorandum yang sama.