Umno Kelantan perlu pemimpin berwibawa
Rombakan barisan kepimpinan tertinggi Umno Kelantan, walaupun dianggap kerap, adalah penting bagi memastikan keberkesanan jentera Umno di negeri itu, kata ketua Umno bahagian Pasir Putih, Kamaruddin Mohd Nor.
"Walaupun tempohnya singkat, tetapi apabila kepimpinan yang ada tidak berkesan, kita buat rombakan...tak kan nak tunggu hingga 10 tahun baru nak rombak," katanya kepada malaysiakini hari ini.
"Kalau kita nampak tak jalan, kita tukar. Pemimpin mesti sentiasa bersedia untuk ditukar pada bila-bila masa," tambahnya.
Pada keseluruhannya, kata Kamaruddin, beliau menerima perubahan itu dengan baik dan positif kerana merasakan ianya selaras dengan kehendak rakyat di negeri berkenaan.
Barisan kepimpinan Umno Kelantan diingatkan supaya bersedia diganti sekiranya kepimpinan mereka tidak berkesan untuk memantapkan kekuatan Umno serta tidak lagi boleh diterima oleh rakyat negeri itu.
Rombakan barisan kepimpinan tertinggi Umno Kelantan, walaupun dianggap kerap, adalah penting bagi memastikan keberkesanan jentera Umno di negeri itu, kata ketua Umno bahagian Pasir Putih, Kamaruddin Mohd Nor.
"Walaupun tempohnya singkat, tetapi apabila kepimpinan yang ada tidak berkesan, kita buat rombakan...tak kan nak tunggu hingga 10 tahun baru nak rombak," katanya kepada malaysiakini hari ini.
"Kalau kita nampak tak jalan, kita tukar. Pemimpin mesti sentiasa bersedia untuk ditukar pada bila-bila masa," tambahnya.
Pada keseluruhannya, kata Kamaruddin, beliau menerima perubahan itu dengan baik dan positif kerana merasakan ianya selaras dengan kehendak rakyat di negeri berkenaan.
Dua minggu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengguguran empat anggota kepimpinan Umno Kelantan, termasuk timbalan pengerusinya, Datuk Annuar Musa, dalam usaha memperkemaskan lagi jentera parti itu di negeri itu.
Bagaimanapun, Datuk Mustapha Mohammad kekal sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri.
Kekuatan parti
Selain Annuar, turut digugurkan ialah setiausaha perhubungan Umno negeri, Tuan Hashim Tuan Yaakub; Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Ismail Mamat, dan bendahari Datuk Dr Nik Hussein Nik Abdul Rahman.
Tempat mereka diambilalih oleh ketua Umno bahagian Kota Bharu, Zaid Ibrahim selaku timbalan pengerusi (foto), Mat Nawawi Mat Jusuh (setiausaha perhubungan), Alwi Che Mat (ketua penerangan) dan Datuk Dr Awang Adek Hussin (bendahari).
Mengulas lanjut mengenainya, Kamaruddin berkata, faktor yang juga penting, baik di Kelantan ataupun di negeri-negeri lain, ialah asas kekuatan parti terletak di peringkat bahagian.
"Saya secara peribadi merasa optimis bahawa rakyat Kelantan akan menerimanya dengan baik. Namun begitu, ianya memerlukan masa walaupun sudah ada tanda-tanda awal yang positif," tegasnya.
Ekoran itu, Kamaruddin berharap ianya akan diterjemahkan kepada peningkatan sokongan rakyat kepada Umno, khususnya di Kelantan.
"Kita mempunyai sebab untuk merasa optimis...tetapi tidak beranilah nak kata yang kita boleh menang (dalam pilihanraya umum akan datang)," tegasnya.

