Sekolah agama kendalian penyokong kerajaan turut terjejas
Seorang pemimpin Umno di Kedah berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menghentikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) kerana ia akan turut merugikan sekolah-sekolah yang diterajui oleh penyokong kuat kerajaan.
Pemangku ketua Umno Bahagian Baling, Ismail Abu Bakar, menyifatkan tindakan kerajaan menyamakan SAR sebagai agen penghasut adalah kurang tepat kerana terdapat juga SAR yang dikendalikan oleh ahli Umno.
"Sebagai contoh, Sekolah Menengah Raudatul Atfal di Bongor di sini (Baling) adalah di bawah selian ahli lembaga sekolah yang terdiri dari penyokong kuat kerajaan," katanya kepada malaysiakini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung isu SAR. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan menutup SAR, tetapi tidak akan lagi memberikan bantuan kewangan kerana institusi tersebut didapati menghasut pelajar untuk menentang kerajaan.
Kenyataan itu dianggap mencerminkan langkah kerajaan yang terpaksa berlembut berikutan penentangan pelbagai pihak, termasuk dari kalangan Umno sendiri yang akan turut terjejas sekiranya SAR ditutup.
Sehubungan itu, Ismail menegaskan bahawa tindakan memberhentikan bantuan kepada SAR yang dikendalikan oleh penyokong kerajaan adalah sesuatu yang merugikan.

Meraih simpati
"Adalah lebih baik sekiranya sekolah ini (Raudatul Atfal) diserap terus oleh kerajaan kerana ianya mempunyai segala infrastruktur yang diperlukan oleh pelajar," katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai nasib beberapa buah SAR di daerah itu yang berada di bawah seliaan penyokong parti pembangkang.
Ditanya sama ada pembangkang akan mengeksploitasi isu SAR untuk meraih simpati menjelang pilihanraya umum akan datang, beliau mengakui ianya merupakan antara isu yang paling hangat diperkatakan di Kedah sekarang.
"Bagaimanapun, kami akan berusaha menjelaskan kepada rakyat mengenai tujuan murni kerajaan dalam hal ini supaya mereka tidak terkeliru berhubung kedudukan sebenarnya," kata Ismail.
Sementara itu, ketua pemuda PAS, Mahfuz Omar, memberitahu bahawa kerajaan tidak sepatutnya mengambil apa-apa tindakan terhadap SAR kerana ianya turut melibatkan kuasa sultan.
Sehubungan itu, katanya, PAS akan menghantar satu memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, meminta baginda menitahkan beberapa perkara kepada kerajaan pusat berhubung isu SAR.
Sultan Mizan
Antara lain, Mahfuz berkata kandungan memorandum itu memohon Sultan Mizan menitahkan kerajaan pusat supaya tidak menghentikan bantuan kewangan kepada SAR, memberhentikan tohmahan terhadap institusi tersebut serta menerima lulusannya sebagai potensi sumber manusia yang berguna.
"Kegagalan kerajaan mematuhi titah Sultan (sekiranya ianya dikeluarkan) bolehlah dianggap sebagai menderhaka," kata Mahfuz lagi.
Ahli parlimen Pokok Sena itu turut menolak dakwaan bahawa lulusan SAR cenderung menentang kerajaaan kerana kebanyakan anak-anak muda hari ini (yang menyokong pembangkang) adalah lulusan sekolah kebangsaan.
"Malahan, tidak ada sebarang kajian secara ilmiah atau bukti kukuh yang mengatakan bahawa lulusan SAR cenderung menyokong pembangkang melainkan fitnah dari pemimpin kerajaan semata-mata," tambahnya.
Beliau turut menyatakan kehairanannya terhadap kerajaan Malaysia yang kononnya menegakkan negara Islam tetapi cuba 'membunuh' sekolah aliran agama.
"Sebagai perbandingan, kerajaan British dan Thailand yang bukannya beragama Islam, turut memberi bantuan kepada setiap pelajar Islam yang mengikuti pengajian agama di negara itu.
"Ini jelas berbeza dengan Malaysia, di mana kerajaan mengharapkan agar sekolah agama terhapus dengan sendirinya dengan pelbagai tekanan, terutamanya melalui kewangan," kata Mahfuz.