PAS cuba sembunyi masalah dalaman parti: Umno WP
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan menyifatkan PAS berniat jahat apabila laman web Harakah (akhbar rasmi parti) mengadakan bancian pendapat umum sama ada Umno akan berpecah apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Oktober depan.
Soalan yang dikemukakan ialah "Apa pandangan anda bila Ustaz Hadi Awang berkata Umno akan pecah bila Dr Mahathir berhenti?"
Pembaca diberi dua pilihan jawapan " Itu tindakan jahat PAS untuk pecahkan Umno " atau " Setuju Umno akan pecah jika Dr M berhenti ".
Soalan yang dikemukakan ialah "Apa pandangan anda bila Ustaz Hadi Awang berkata Umno akan pecah bila Dr Mahathir berhenti?"
Pembaca diberi dua pilihan jawapan "Itu tindakan jahat PAS untuk pecahkan Umno" atau "Setuju Umno akan pecah jika Dr M berhenti".
Sehingga tengah hari tadi, kira-kira 87 peratus atau 2,697 pengunjung lawan web tersebut memilih pilihan kedua "Setuju Umno akan pecah jika Dr Mahathir berhenti". Hanya 12 peratus atau 397 lagi memilih jawapan pertama.
Mengulas lanjut mengenainya, ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Haidir Sheikh Fadzir, menegaskan PAS mengadakan bancian pendapat umum itu kerana ingin mengalih pandangan ahli-ahlinya daripada masalah dalaman parti itu sendiri.
"Sebenarnya, apabila (Datuk) Fadzil Nor (presiden PAS) sudah tiada, kepimpinan PAS menjadi susah, kerana baru kini mereka sendiri sedar bahawa tiada semua ahli bersetuju dengan tindak-tanduk mereka," katanya kepada malaysiakini.
Katanya, bagi mengelak kepimpinan baru PAS dipersoalkan oleh kalangan tertentu dalam parti itu, maka mereka berusaha mengalih perhatian ahli, dengan mengadakan bancian pendapat umum mengenai peralihan kuasa dalam Umno.
Peralihan kuasa
"Oleh kerana Dr Mahathir memimpin parti dan negara selama 22 tahun, maka mereka andaikan akan berlaku perebutan kuasa apabila menyerah kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Selama ini peralihan kuasa dalam Umno berlaku secara aman. Selepas Tun Razak Hussein meninggal dunia, beliau digantikan oleh Tun Hussein Onn. Tun Hussein pula digantikan oleh Dr Mahathir apabila beliau sakit," tegasnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila Dr Mahathir yang masih sihat, mahu menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Abdullah, maka golongan berkenaan mengandaikan ia akan mengakibatkan berlakunya perebutan kuasa dalam Umno.
"Sebaliknya kita dalam Umno yakin dan akan memastikan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah akan berlaku secara aman," tambahnya.
Sebelum ini, laman Harakah juga pernah mengadakan bancian pendapat umum mengenai pengganti Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Hasil bancian itu menunjukkan pembaca memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengganti terbaik kepada Dr Mahathir.
Abdullah pula menduduki tempat ketiga selepas naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin. Ini diikuti oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan seorang lagi naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Daripada sejumlah 7,272 pembaca yang membuat pilihan, 62.4 peratus atau 4,538 orang memilih Najib, 1,024 atau 14.08 peratus (Muhyiddin), 737 atau 10.14 peratus (Abdullah), 53 atau 7.3 peratus (Tengku Razaleigh Hamzah) dan 44 atau 6.07 peratus (Muhammad Muhd Taib).

