Demonstrasi aman di tol Jalan Kuching malam ini
"Penutupan tol Jalan Kuching mulai Jan 7 menjadi harapan kepada rakyat untuk menyaksikan banyak lagi plaza tol ditutup. Tetapi harapan ini dilihat seolah-olah berkecai apabila ia disambut dengan kenaikan tol Jalan Cheras," kata setiausahanya, Badrul Hisham Shaharin.
Sejak awal bulan ini, kadar tol di dua tempat di Jalan Cheras masing masing naik 20 sen menjadi 60 dan 70 sen.
Beliau berkata, tempoh kutipan tol di Jalan Kuching yang sepatutnya berakhir pada tahun 1996 telah beberapa kali dilanjutkan dengan pelbagai alasan, antaranya untuk memboleh syarikat pengendalinya, menyiapkan skim pemberhentian pekerjanya dengan mengambil kira kebajikan mereka.
Bagaimanapun, Badrul mendakwa, kira-kira 100 pekerja tol diberhentikan begitu sahaja, walaupun ada antara mereka sudah berkhidmat lebih 10 tahun di situ.
"Penutupan kutipan tol di Jalan Kuching juga menyaksikan berakhirnya 16 tahun pemerasan wang rakyat, yang menyebabkan beberapa kos lain naik kerana berkait rapat dengan kos pengangkutan bahan mentah utama di pasar borong Selayang," tambahnya.
Bermula tahun 1985, kerajaan telah memberikan hak kepada Seri Angkasa Sdn. Bhd, dan kemudiannya Kamunting Corporation, untuk meningkatkan taraf Jalan Kuching dan syarikat tersebut diberikan hak pengutipan tol sehingga 1996, tetapi selepas itu tempohnya dilanjutkan selama tujuh tahun lagi.
Bayaran pampasan
Tol Jalan Kuching menghubungkan penduduk di persekitaran kawasan Kepong, Batu Caves dan Rawang ke pusat bandar dengan kadar tol 50 sen sehala.
Sebelum ini, Pemuda Umno juga berjanji untuk membela nasib 120 kakitangan terbabit supaya diberi pampasan sepatutnya oleh majikan mereka.
Ketua Biro Pengaduan pergerakan itu, Subahan Kamal dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan membantu pekerja terbabit menghantar surat rayuan kepada Jabatan Buruh supaya mengkaji kadar pampasan yang dibayar oleh syarikat terbabit
Manakala Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan pula merancang 'meraikan' penutupan kutipan tol di Jalan Kucing dengan pertunjukan bunga api selama 15 minit.
Bagaimanapun, rancangan itu dikritik oleh Ahli Parlimen DAP bagi kawasan Cheras, Tan Kok Wai yang menyifatkannya sebagai bertentang dengan hasrat rakyat berhubung isu kutipan tol di Jalan Kuching.
Beliau mendakwa, MCA cuba mengalih perhatian rakyat daripada hakikat bahawa kerajaan telah membenarkan lanjutan tempoh kutipan tol di Jalan Kuching selama tujuh tahun tanpa sebab yang munasabah.
Katanya, kos menaiktaraf Jalan Kuching ialah RM89.95 juta, tetapi sehingga 31 Ogos lalu, syarikat pengendali tol berkenaan sudahpun memungut kira-kira RM3336.3 juta, sekaligus memperolehi keuntungan empat kali ganda.

