Kepimpinan PAS Kedah semakin selesa dengan sokongan rakyat negeri itu kepada parti berkenaan, yang menurut mereka lebih memberangsangkan berbanding pilihanraya umum 1999.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak dan Ketua Dewan Pemuda Pusat, Mahfuz Omar (gambar), tinjaun dan kunjungan yang dilakukan di kalangan penyokong akar umbi dan rakyat setempat, menunjukkan sokongan terhadap parti itu tetap utuh dan semakin kuat.

Setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa, yang turut dihubungi malaysiakini, juga sependapat bahawa rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional kerana marah dengan cara kerajaan mengendali beberapa isu berkaitan orang Melayu, terutamanya mengenai dasar pendidikan.

Azizan dan Mahfuz menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain minggu lalu, yang yakin Umno mampu menawan semula kubu kuat PAS di negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Syed Razak dilaporkan berkata, kajian oleh seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai senario politik di Kedah, mendapati 35 peratus ahli Umno yang membantah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan Kerajaan sebelum pilihanraya 1999, kini berkurangan kepada kurang lima peratus.

Syed Razak juga yakin bahawa pemergian Allayarham Datuk Fadzil Nor turut memudarkan sokongan terhadap pembangkang kerana ketokohan beliau yang bertaraf ulama itu, tiada penggantinya.

Kajian dipertikai

Mengulas lanjut mengenainya, Mahfuz mempertikaikan kajian berkenaan, sambil berkata hasil sesetengah kajian tidak mencerminkan keadaan yang sebenarnya

"Sesetengah orang membuat kajian "armchair" di mana mereka membuat analisa dari kerusi dan meja mereka di pejabat tanpa mengambil kira apa yang sebenarnya berlaku di padang," katanya kepada malaysiakini.

Beliau juga percaya kajian tersebut dibuat tanpa mengambil kira isu pendidikan yang hangat diperkatakan oleh masyarakat negeri itu sekarang, terutamanya isu pemberhentian bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan penyerapan SAR kepada sekolah kebangsaan.

"Perubahan politik berlaku setiap hari. Saya kira kajian itu tidak mengambilkira isu pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan isu SAR, yang telah menimbulkan kemarahan rakyat di sini kepada kerajaan pusat, termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri," katanya.

Umno Kedah, katanya, tidak berupaya "mengendali" isu-isu pendidikan ini kerana mereka terpaksa akur dengan kemahuan kerajaan pusat, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, walaupun ianya bertentangan dengan kehendak rakyat.

"Lagipun rasional yang mereka (Umno Kedah) jelaskan kepada rakyat mengenai perkara itu, hanyalah rasional yang berunsur fitnah. Contohnya, mereka kata SAR tidak bagus kerana keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di SAR merosot.

Majoriti dua pertiga

"Pada hal, rakyat tempatan dapat melihat sendiri bahawa tiada banyak perbezaan dalam pencapaian peperiksaan PMR di antara sekolah agama dan sekolah kebangsaan," tambahnya.

Manakala kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Anak Bukit awal tahun, kata Mahfuz, menunjukkan bahawa dakwaan kononnya sokongan kepada PAS Kedah bergantung kepada populariti allahyarham Fadzil, adalah tidak benar samasekali.

"Malah, undi yang kita perolehi di Anak Bukit meningkat sedikit.Walaupun PAS kalah di Parlimen Pendang, undi yang diterima tetap memberangsangkan kerana Barisan Nasional, dengan taktik kotornya, gagal mendapat dua pertiga majoriti di Kedah," katanya.

Pada 1999, BN menang 24 dari 36 kerusi negeri, manakala baki 12 kerusi, dimenangi PAS. Bagaimanapun, BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri, apabila tewas kerusi Lunas kepada Keadilan dalam pilihanraya kecil pada 2000.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, beliau tidak boleh menghalang Umno Kedah dari "bergembira" dengan hasil kajian berkenaan.

"Kalau mereka suka , terpulanglah kepada mereka. Tetapi bagi kami, pengalaman berinteraksi dengan rakyat Kedah menunjukkan sokongan terhadap PAS tidak berganjak, malah makin meningkat," katanya.

Pilihan rakyat

Menurutnya, pemimpin PAS lebih cenderung memberi informasi kepada rakyat mengenai isu-isu penting yang melibatkan masa depan mereka supaya mereka dengan sendiri boleh membuat keputusan yang terbaik.

Sementara itu, Azizan pula berkata, rakyat yang akan menentukan segalanya kerana mendakwa kerajaan pusat dan Umno mengkhianati bangsa mereka sendiri, seperti dalam isu SAR dan isu bahasa Melayu yang jelas tidak menguntungkan sesiapa.

Beliau juga berkata isu pemecatan Anwar yang kemudiannya didakwa dan di penjara pada 1998 masih segar diingatan penyokong yang marah dengan peristiwa itu kerana mereka terus mengundi PAS dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit.

"Umno- dengan segala jentera dan orang kenamaan yang datang berkempen - tidak berjaya merampas semula kerusi Anak Bukit manakala undi untuk PAS di Pendang jelas semakin meningkat. Jelas, rakyat masih menyebelahi kita,"katanya.

Beliau juga yakin kepulangan Fadzil ke rahmatullah tidak menjejaskan sokongan terhadap parti dan ini terbukti dalam pilihanraya kecil Anak Bukit yang sebelum itu, diwakili Fadzil.

Sokongan meningkat

"Kami yakin dengan parti kami, saf kami kuat, kami senang dengan sokongan yang kami dapat. Ini ditambah dengan isu SAR yang melibatkan pengundi luar bandar di mana Umno gagal mematahkan hujah-hujah kami," katanya lagi.

Manakala Nasharuddin, yang juga Ahli Parlimen Yan, menyifatkan kenyataan Syed Razak itu adalah semata-mata satu usaha untuk "menaikkkan moral" Umno Kedah yang semakin lemah.

"Keadaan adalah sebaliknya. Kalau hendak banding dengan 1999, kita mungkin dapat lebih banyak sokongan kerana terdapat lebih banyak isu sekarang, seperti isu sekolah agama rakyat dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," katanya.

Menurutnya, Umno tidak mengendalikan isu-isu dengan sebaiknya dan ini jelas menunjukkan parti tonggak kerajaan Barisan Nasional itu gagal membela nasib orang Melayu.

"Umno Kedah gagal menyelamatkan sekolah agama rakyat dan banyak lagi isu lain yang menunjukkan kelemahan mereka," katanya lagi.