versi terkini Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertegas melarang "bahan-bahan cetak pembangkang" dipasarkan di beberapa kompleks membeli-belah dan pentadbirannya di negeri itu dan Kuala Lumpur.

"Larangan kepada peniaga-peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam supaya tidak menjual bahan-bahan cetak terlarang adalah selaras dengan arahan daripada Kerajaan Selangor," kata Pengurus, Unit Pengurusan PKNS Shah Alam, Junaidah Mohd Yusof.

Beliau menjawab surat daripada seorang penerbit bebas, Ahmad Lutfi Othman pada 14 Mac lalu.

Ahmad Lutfi ingin penjelasan sama ada bahan-bahan terbitan yang sering mengkritik kerajaan dan diusahakan penerbit yang tiada kaitan dengan sesebuah parti pembangkang turut dilarang dijual di kompleks itu.

Dalam surat jawapan bertarikh 22 Mac lalu, Junaidah tetap mempertahankan keputusan PKNS dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada 14 Februari lalu. Dalam pekeliling itu, perbadanan itu "melarang peniaga mengedar dan menjual barang serta bahan cetak yang diedar oleh pembangkang."

Menurut pekeliling itu lagi, seseorang penjual yang tidak mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau bahan terbitannya dirampas atau kedua-dua sekali.

Pekeliling yang sama juga dikeluarkan kepada semua premis milik kerajaan Selangor seperti kompleks-kompleks PKNS di Jalan Raja Laut dan Wisma Yakin, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Ahmad Lutfi menulis surat itu sebagai mempertikaikan istilah "bahan cetak yang diedar oleh pembangkang" tetapi beliau seorang penerbit persendirian Bumiputera yang tidak ada kaitan dengan sebarang parti pembangkang.

"Saya adalah penerbit makalah-makalah politik bebas dan tidak didukung oleh mana-mana parti politik. Saya dimaklumkan oleh beberapa penyewa di kompleks PKNS Shah Alam, bahawa bahan-bahan terbitan saya, yang dikatakan condong kepada parti pembangkang, tidak lagi boleh dijual di situ," katanya dalam surat itu.

Beliau sebelum ini memberitahu malaysiakini, akibat larangan itu, syarikat miliknya Penerbitan Pemuda gagal menjual kira-kira 1,000 naskhah setiap keluaran.