Presiden Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan Salman Zainal Abidin mempertikaikan laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Kes pukul: Mara tarik balik biasiswa 15 pelajar di Jordan" kerana tiada seorang pun daripada mereka yang terbabit pemegang biasiswa Mara.

Selain itu, katanya, hanya 14 pelajar yang terbabit dalam kes memukul ahli kelab Umno Jordan Amir Shahrizat Mohd Azizan pada 15 November lalu.

Berikutan peristiwa itu, empat pelajar Malaysia, Mohd Abd Halim Mohd Abdul Wahid, Khirul Ariffin Jusoh, Mohd Fadhli Mansor dan Muzaffar Mustaffa, telah didakwa di mahkamah daerah atas tuduhan memukul Amir.

"Mereka yang terbabit menerima pinjaman atau biasiswa daripada Pusat Zakat Terengganu dan Perak serta Yayasan Terengganu. Setahu saya tiada di antara kami yang menerima bantuan Mara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Salman, beliau akan cuba mendapat pengesahan dari Jabatan Pelajar Malaysia di Jordan berhubung perkara itu.

"Saya akan mengesahkan hal ini dengan jabatan pelajar sejauhmana kebenaran laporan tersebut ataupun berita itu hanya sekadar provokasi politik untuk menakutkan pelajar yang sedang dan akan datang belajar di sini," katanya.

Mengulas lanjut mengenainya, Salman percaya tidak ramai pelajar yang sedang menuntut di Jordan yang ditaja oleh Mara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Perbicaraan ditangguh

Utusan Malaysia, dalam laporannya muka depannya pada 13 Disember lalu, memetik Ketua Pengarah Mara, Zamani Md Noor sebagai berkata Mara telah menarik balik pinjaman pendidikan 15 pelajar Malaysia, berkuatkuasa serta-merta, ekoran kes pukul itu.

Selain itu, Zamani berkata Mara juga telah membuat keputusan tidak akan menghantar lagi pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran ke Jordan.

Malah, kata beliau lagi, program kerjasama dengan Institut Kemajuan Iktisas Pahang (Ikip) juga telah dibatalkan dan Ikip telah diminta mencari alternatif lain untuk pelajar yang terbabit dalam program tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Salman memberitahu bahawa perbicaraan kes tersebut yang sepatutnya diadakan Khamis lalu telah ditangguh hingga 9 Januari depan.

"Mahkamah menangguhkan perbicaraan itu setelah pihak pengadu gagal hadir pada waktu yang ditetapkan," katanya.

Salman turut berada di rumah Amir pada malam 15 November lalu semasa Amir mendakwa dibelasah oleh 14 pelajar yang didakwanya"penyokong parti PAS".

Bagaimanapun, Salman menafikan mereka menyerang Amir dan berada di situ bersama tujuh anak Terengganu bagi mendapatkan penjelasankan mengenai SMS (sistem pesanan ringkas) yang mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dihantar melalui telefon Amir.