Hubungan parti pembangkang dengan wakil-wakil negara luar wajar dilihat secara waras, saran Naib Presiden Gerakan Datuk Dr S Vijayaratnam hari ini.

"Tidak patut kita membuat andaian jika mereka menghadiri taklimat Keadilan (Parti Keadilan Nasional) tentang keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kehadiran wakil-wakil negara asing itu sebagai menyokong atau bersetuju dengan parti itu," katanya.

Beliau mengulas laporan-laporan akhbar hari ini yang menyebutkan parti pembangkang itu mengadakan satu taklimat tertutup dengan wakil kedutaan beberapa negara di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor Khamis lalu. Taklimat itu disampaikan oleh isteri Anwar, yang juga Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hari ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata beliau "berasa kesal" parti pembangkang itu melibatkan diplomat asing berhubung rawatan Anwar yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur sejak 25 November lalu selepas mengalami sakit belakang.

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, negara-negara asing tidak perlu "mencampuri urusan" dalam negara ini.

"Apa sahaja masalah kita, kita selesaikan sendiri, tidak perlu kita undang mereka untuk campur tangan urusan dalaman negara," katanya, seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut Vijayaratnam lagi, memang menjadi tugas wakil duta negara luar untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang isu-isu politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara.

"Mereka (diplomat) mendengar, memahami dan mengumpul dan maklumat itu akan disampaikan kepada kerajaan masing-masing," katanya.

Menurut laporan akhbar, dalam taklimat Wan Azizah itu, wakil-wakil kedutaan negara luar yang terlibat termasuklah Indonesia, New Zealand, Perancis, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat.

Vijayaratnam bagaimanapun mempertikaikan "layanan istimewa" yang diterima oleh Anwar.

"Luar biasa sekali seseorang banduan yang telah mendapat banyak keistimewaan (ketika dalam tahanan), dan kini dipertimbangkan pula untuk dibenarkan mendapatkan rawatan di luar negara adalah lebih menakjubkan," katanya dalam kenyataan yang sama kepada malaysiakini.

Dalam perkembangan berkaitan, dua pemimpin kanan DAP pagi tadi membuat aduan polis berhubung laporan berita Utusan Malaysia dan agensi berita nasional Bernama.

Pengerusinya Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Kerk Kim Hock mendakwa laporan dua media tersebut sebagai "palsu" dan polis digesa menyiasat perkara itu di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. ([#1]Berita Utusan diadu kepada polis esok[/#], 30 Mac)

Mengkhianati negara

Laporan muka depan akhbar itu semalam yang bertajuk 'Bekas duta Amerika hadiri pertemuan sulit Keadilan' menyebutkan bekas duta itu John R Malott turut menghadiri taklimat itu di Petaling Jaya.

Bagaimanapun menurut jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur semalam, Malott tidak berada di Malaysia pada hari tersebut.

Akhbar itu juga menyebutkan semua pemimpin utama parti-parti pembangkang menyertai pertemuan tersebut. Bagaimanapun mereka menafikan hadir dalam majlis itu, sebaliknya menjelaskan berada di bilik lain pada bangunan hotel yang sama untuk mesyuarat Barisan Alternatif.

Menurut Lim, Bernama turut melaporkan perkara itu semalam.

"Kedua-dua laporan itu tidak benar dan tidak berasas, mengandung 'berita palsu', kerana kami berdua tidak menghadiri sebarang 'pertemuan sulit' berhubung kesihatan Anwar di hotel berkenaan," kata Lim dalam satu kenyataan selepas membuat laporan di balai polis Jalan Stadium, Kuala Lumpur jam 10 pagi tadi.

"Pemimpin parti-parti pembangkang termasuk PAS Datuk Fadzil Noor, Pengerusi DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock dan beberapa sahabat Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) juga hadir," lapor akhbar itu.

Syed Husin dan Kerk semalam telah menafikan laporan akhbar tersebut.

Menurut bekas Ketua Pembangkang itu lagi, dua laporan berita itu cuba menunjukkan seolah-olah mereka berdua mengkhianati negara ini dengan bekerjasama dengan negara asing.