Amir Sharizat didakwa berlakon dipukul
Presiden Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan Salman Zainal Abidin menafikan laporan yang disiarkan oleh media perdana di Malaysia bahawa seorang pelajar negara di Jordan, Amir Sharizat Mohd Azizan, telah dibelasah teruk oleh sekumpulan pelajar yang juga penyokong PAS.
Katanya, kejadian sebenarnya yang berlaku di antara Amir dan sekumpulan pelajar-pelajar lain pada malam 15 Nov lalu sangat berbeza jika dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar media massa di Malaysia.
Menurutnya, beliau bersama kira-kira tujuh pelajar anak Terengganu dan beberapa saksi, pergi ke rumah Amir hanya untuk mendapatkan penjelasan mengenai SMS (sistem pesanan rigkas) yang mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dihantar melalui telefon Amir.
Apabila diminta mengulas kejadian malam Nov 15, Salman menceritakan bahawa beliau dan beberapa pelajar dari Terengganu menemui Amir supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kata-kata kesat yang digunakan dalam pesanan yang dihantar melalui telefonnya itu.
Katanya, kejadian sebenarnya yang berlaku di antara Amir dan sekumpulan pelajar-pelajar lain pada malam 15 Nov lalu sangat berbeza jika dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar media massa di Malaysia.
Menurutnya, beliau bersama kira-kira tujuh pelajar anak Terengganu dan beberapa saksi, pergi ke rumah Amir hanya untuk mendapatkan penjelasan mengenai SMS (sistem pesanan rigkas) yang mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dihantar melalui telefon Amir.
Apabila diminta mengulas kejadian malam Nov 15, Salman menceritakan bahawa beliau dan beberapa pelajar dari Terengganu menemui Amir supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kata-kata kesat yang digunakan dalam pesanan yang dihantar melalui telefonnya itu.
"Kami juga mahu perkara itu tidak berulang kerana takut perbuatan menghantar dan menyebarkan SMS yang berbentuk maki hamun akan menjadi budaya di kalangan pelajar Malaysia di sini," katanya.
Beliau mendakwa ketika mereka meminta penjelasan dari Amir, pelajar jurusan Bahasa Arab itu bersetuju untuk membincangkan perkara itu di dalam biliknya.
Menggelabah
Tiada apa yang berlaku pada awal pertemuan itu di mana Amir tidak mengakui menghantar SMS tersebut kepada pelajar Malaysia yang lain dan mendakwa dirinya telah difitnah oleh orang lain, kata Salman.
"Amir memberitahu kami beliau telah hilang nombor dan orang lain telah menggunakan nombornya untuk menghantar SMS itu. Untuk membuktikan dakwaannya, kami melihat kad SIM telefon bimbitnya," kata Salman, pelajar tahun dua jurusan Syariah (Usulludin).
"Ketika salah seorang pelajar itu memeriksa kad SIM kepunyaan Amir, mereka terjumpa satu pesanan yang menunjukkan Amirlah yang bertanggungjawab menghantar SMS mencaci pemimpin PAS kepada pelajar lain.
"Mulai dari situ, Amir mula menggelabah. Dia tiba-tiba mengundur dan menjerit: Tolong! Tolong! Aku kena pukul! Kami panik dengan kelakuannya dan ada di antara kami cuba menenangkan," katanya.
Berlakon
"Kemudian, Amir cuba melarikan diri bersama kad SIMnya dengan merangkak keluar dari bilik tetapi dapat dihalang oleh pelajar-pelajar lain.
"Kami mahu menyimpan SIM kadnya sebagai bahan bukti. Jadi ada di antara kami yang menarik dan menolaknya dari pintu bilik supaya dia tidak dapat keluar. Itu sahaja yang berlaku. Tiada siapa yang memukul sesiapa," kata Salman.
Menurut Salman lagi, keadaan menjadi tegang selepas itu dan berlaku "pertikaman lidah" kerana mereka marah Amir sanggup "berlakon" dan menjerit mendakwa dipukul, walhalnya tiada sesiapun yang bertindak ganas terhadapnya.
"Setelah mendapat SIM kad itu kembali, kami meninggalkan Amir yang kelihatan sangat marah ketika itu. Dia menjerit kepada kami: "Jagalah kamu! Tunggu pembalasannya nanti!," kata Salman.
Apabila ditanya tentang laporan yang mengatakan Amir mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu, Salman mendakwa Amir kelihatan sihat ketika di ziarahi dirumahnya baru-baru ini.
"Salah seorang rakan kami, seorang pelajar dari Negri Sembilan, telah menziarahinya apabila membaca laporan akhbar Malaysia tentang kecederaannya. Kami diberitahu beliau (Amir) nampak biasa sahaja. Boleh bergelak ketawa dan bermain 'game' lagi," katanya.
Beliau juga kesal dengan kenyataan beberapa pemimpin negara yang menggambarkan seolah-olah mereka semua telahpun didapati bersalah walhal empat orang sahaja yang telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memukul dan menceroboh kediaman Amir.
Mereka ialah Mohd Abd Halim Mohd Abdul Wahid, Khirul Ariffin Jusoh, Mohd Fadhli Mansor dan Muzaffar Mustaffa. Mereka yang dibebaskan dengan ikatjamin adalah pelajar pengajian syariah, kecuali Khirul, pelajara tahun akhir fakulti bahasa Arab.
Perbicaraan kes mereka dijadualkan bermula pada 27 Nov depan. Berdasarkan siasatan polis, yang lainnya tidak dikenakan sebarang tindakan.
Apabila ditanya tentang ceramah Abdul Hadi pada 10 Nov lepas, Salman berkata, ceramah itu tidak mengandungi apa-apa unsur politik.
Maklumat terkini
"Beliau (Abdul Hadi) menyampaikan maklumat terkini tentang dasar kerajaan negeri. Ada juga pelajar bertanya tentang negara Islam dan beliau membuat penerangan mengenainya. Mungkin ada yang menganggap soalan ini berunsur politik tetapi kami membuat pertanyaan hanya untuk menambah ilmu," katanya.
Salman yang turut menghadiri ceramah itu juga menafikan berlakunya kejadian sahutan cabaran berdebat di antara seorang pegawai dari Jabatan Hal-Ehwal Agama Kementrian Penerangan, Effendi Yusof dengan Abdul Hadi kerana Effendi tidak menghadiri ceramah itu.
Tentang cadangan penarikan biasiswa terhadap pelajar yang terlibat, beliau berkata, perkara itu bukanlah satu isu kerana kebanyakan pelajar terlibat membiayai sendiri pengajian mereka.
"Yang adapun, adalah mereka yang menerima pinjaman daripada Yayasan Terengganu manakala rakan dari Perak dan Selangor yang terlibat sebagai saksi, ditaja oleh Pusat Zakat negeri masing-masing," katanya.
Sambil menegaskan bahawa kejadian itu tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Salman kesal kerana PAS turut dibabitkan seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar di Malaysia.
Tiada persengketaan
"Tiada seorang pun di antara kami yang berjumpa Amir pada malam itu pernah mengisi borang keahlian PAS. Kami pergi atas dasar anak-anak Terengganu," katanya dalam temubual telefon dengan malaysiakini hari ini.
Beliau mendakwa tidak pernah berlaku sebarang persengketaan atau perpisahan di antara pelajar penyokong parti pembangkang dan pelajar lain di Jordan sepertimana yang didakwa oleh seorang menteri kabinet Malaysia.
"Selain Kelab Umno, tiada lagi persatuan berbentuk kepartian di sini. Tiada Kelab PAS atau parti lain. Jadi tiada bukti untuk mengatakan ada perpisahan di antara pelajar yang sokong parti pembangkang dengan yang lain.
"Yang tidak menyertai Kelab Umno terlibat dengan aktiviti politik kampus. Mungkin mereka ini yang dianggap penyokong parti pembangkang. Kalau begitu, ianya tidak benar," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui keadaan di antara pelajar menjadi agak tegang apabila pelajar dari Kelab Umno menyebarkan risalah dan SMS yang mengutuk pemimpin PAS dengan kata-kata kesat dan maki hamun.

