PAS hari ini memuji langkah berani TV3 yang memberi peluang kepada pemimpin pembangkang, khususnya dari PAS untuk menjadi ahli panel siri program Al-Kulliyah yang disiarkan secara langsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Program itu disiarkan pada setiap malam Rabu, dipengerusikan oleh pegawai agama Istana Negara, Datuk Hassan Din al-Hafiz bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan Islam.

Ahli panel bagi program pertamanya ialah penasihat agama kepada Perdana Menteri, Datuk Hamid Othman dan ahli Parlimen PAS bagi Baling, Ustaz Taib Azamuddeen.

Manakala ahli panel bagi program keduanya yang ditayangkan pada malam Rabu lalu ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dari Guar Sanji, Perlis, Ustaz Ahmad Ali.

Ustaz Taib Azamudden ketika dihubungi, memuji langkah TV3 itu sambil menegaskan bahawa pemimpin pembangkang, khususnya PAS, sentiasa bersedia memberi pandangan ke arah mewujudkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Selain itu, katanya, ianya turut membuktikan bahawa sikap prejudis sesetengah pihak yang menganggap pembangkang akan mengambil kesempatan ketika menyertai program seumpama itu, adalah tidak benar.

Perpaduan Islam

"Islam adalah hak semua orang. Oleh itu, kita kita tidak timbul soal kepartian. Yang ditimbulkan adalah masalah dakwah. Saya dan Datuk Hamid bercakap tentang perutusan Islam," katanya kepada malaysiakini.

Selama ini, katanya, timbul salahfaham sesetengah pihak yang menganggap seolah-olah PAS tidak bersifat rasional dan sering mengaitkan pembangkang dengan perkara yang buruk semata-mata.

"Kita menyertai program Al-Kulliyah yang disiarkan secara langsung itu dengan niat ikhlas untuk berdakwah dan memperkatakan tentang Islam dalam kontak masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

"Tidak kira orang PAS atau Umno, apa yang hendak kita katakan ialah sesuatu kebenaran dari Allah hendaklah kita terima kebenarannya. Kalau salah, maka kita terimanya salahnya, walaupun bertentangan dengan pendirian parti kita," tambahnya.

Menurut Ustaz Taib lagi, kewujudan parti politik adalah sebagai suatu pendekatan ideologi dan kerana itu, tidak harus timbul rasa prejudis terhadap pihak pembangkang, terutama kepada PAS, untuk memberi ruang kepada pemimpinnya dalam media massa, terutama di RTM.

"Oleh itu, saya berharap program seumpama ini akan berterusan untuk memboleh kita bercakap mengenai agama, dan bukannya mengenai parti kita, selaras dengan usaha untuk memupuk perpaduan dan menentang keganasan," tambahnya.