Parti Keadilan Nasional hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya menjalankan pendaftaran semula pengundi di seluruh negara bagi membersihkan senarai daftar pemilih sekarang.

Setiausaha agung Keadilan, Sahri Bahari berkata, langkah itu harus dilaksanakan segera kerana wujudnya sejumlah 2.8 juta pengundi yang dipindahkan ke kawasan tertentu sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Sahri berkata, dakwaan Dr Mahathir mengenai 'pengundi hantu' itu telah mencetuskan keraguan terhadap senarai daftar pemilih sekarang.

"Oleh itu, SPR tidak boleh lagi berdolak dalih untuk melaksanakan pendaftaran semula bagi maksud mengemaskinikan daftar pemilih sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa ada pihak tertentu memindahkan 2.8 juta pengundi berdaftar ke kawasan lain yang tiada kena mengena dengan mereka.

Menurut Perdana Menteri lagi, kajian terhadap senarai daftar pemilih menunjukkan pengundi berkenaan tidak mempunyai alamat atau sebarang kaitan sama sekali dengan kawasan baru itu.

Pendaftaran automatik

Manakala Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Omar pula menolak kemungkinan pembabitan 'orang dalam' sebagai dalang memindahkan pengundi terbabit ke kawasan lain kerana sistem komputer suruhanjaya itu tidak membolehkan mereka berbuat demikian.

Beliau dilaporkan dalam Berita Harian hari ini sebagai berkata, kakitangan SPR hanya memasukkan data berdasarkan maklumat yang ada dalam borang permohonan pengisytiharan daftar pemilih.

Mengulas lanjut mengenainya, Sahri berkata, pihaknya berpendapat, dalam proses pendaftaran semula ini, SPR sepatutnya mempertimbangkan juga pelaksanaan sistem pendaftaran secara automatik bagi pengundi yang telah mencapai umur layak mengundi berdasarkan alamat kad pengenalan mereka.

"Ini akan dapat dilaksanakan dengan cara SPR mewujudkan rangkaian terus ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi menyemak kesahihan status seseorang yang ingin mendaftar, terutama dari segi alamat, umur dan taraf kerakyatan mereka," tambahnya.

Parti Keadilan yakin, jika proses pendaftaran semula ini dilakukan, soal 'pengundi hantu' atau pengundi yang dipindahkan akan dapat diatasi.

"Ia tidak akan selama-lamanya menjadi senjata politik bagi mana-mana parti yang memerintah untuk memperalatkan proses pilihanraya demi menjamin kelangsungan hayat politik mereka," tambah Sahri.