Daim Zainuddin, Menteri Kewangan akhirnya mengaku bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah memberikan pinjaman RM500 juta kepada Time dotCom pada tahun 1996.

Syarikat milik Halim Saad itu berjanji untuk membayar separuh pinjaman itu dan bakinya dalam bentuk pemilikan saham.

KWSP adalah dana simpanan kaum pekerja bagi hari tua mereka. Terdapat 9.7 juta orang pencarum dalam tabung itu. Di Malaysia, KWSP merupakan dana kewangan yang terbesar dengan jumlah tabungan sebanyak RM180 bilion.

Ia diurus oleh sebuah lembaga pengarah dan dibantu oleh penasihat-penasihat pakarnya. Mengenai pelaburan, KWSP mempunyai panel pelaburannya. Terdapat enam orang wakil kesatuan sekerja dalam lembaga pengarah KWSP, termasuklah Presiden MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) dan Presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam).

Dalam isu pembabitan KWSP dengan Time dotCom Bhd, adakah lembaga pengarah dan panel pelaburan tabung pekerja itu telah bertindak bijaksana, cermat, berhemah dan berwaspada?

Pada Jumaat dua minggu lalu, Pengerusi KWSP Tan Sri Abdul Halim Ali menafikan tabung simpanan itu telah membeli saham-saham Time dotCom yang tidak dilanggan ketika apungan terbaru (IPO) beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun Abdul Halim mengaku, seperti juga Daim, bahawa KWSP telah meluluskan pinjaman RM500 juta kepada Time dotCom (melalui Time Telecommunications Holdings, anak syarikat Time Engineering Bhd).

Time dotCom adalah sebahagian daripada milik Halim Saad. Tokoh korporat ini juga memiliki Renong. Renong berkait rapat dengan Umno dan para pemimpin utamanya. Renong merupakan sebuah konglomerat yang bermasalah.

Kerana masalah kewangan itu, anak syarikat Renong bernama Time Engineering Berhad terpaksa disusun semula. Lalu, Time dotCom ditubuhkan dalam usaha penyusunan Time Engineering. Dalam urusan inilah KWSP terjebak dengan memberikan pinjaman dan pembelian saham Time dotCom.

Dividen KWSP makin rendah

Persoalannya, patutkah tabung simpanan pekerja terlibat dengan syarikat-syarikat bermasalah milik Halim Saad, seorang tokoh korporat kroni? Kepentingan siapakah yang perlu diutamakan oleh panel pelaburan dan lembaga pengarah KWSP: kepentingan 9.7 juta pencarum KWSP atau kepentingan Halim Saad seorang diri?

Dari tahun ke tahun, semakin rendah dividen yang dibayar oleh KWSP kepada para pencarum. Buktinya tahun lalu, KWSP hanya membayar dividen pada kadar enam peratus, merupakan kadar terendah setakat ini.

Sementara itu, dari sehari ke sehari semakin banyak terdedah bahawa wang KWSP telah dipinjam atau dilaburkan sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni Daim dan Mahathir.

Pada tahun 1999, sebanyak RM12 bilion dana rakyat dan negara daripada pelbagai sumber telah dicurahkan untuk menyelamatkan Renong. Ada kajian ahli ekonomi menyatakan bahawa sebanyak RM50 bilion - setakat ini - wang rakyat dan negara telah dibelanjakan untuk menyelamatkan perniagaan kroni-kroni, terutamanya Daim dan Mahathir.

Yang menjadi mangsa utama, antaranya, ialah wang pekerja dalam KWSP. Time dotCom meminjam RM 500 juta, Khazanah Nasional Bhd juga meminjam wang KWSP sebanyak RM2,000 juta.

Syarikat Perwaja juga meminjam wang KWSP sebanyak RM710 juta. KLIA Bhd, syarikat yang membangunkan lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, pula meminjam duit KWSP sebanyak RM1,000 juta.

Semuanya pinjaman dalam skala yang besar - beratus-ratus dan ribuan juta. Setelah banyak membantu usaha menyelamatkan (bailout) syarikat-syarikat kroni dalam negeri, kini KWSP sedang bercadang untuk meluaskan operasi pelaburannya ke luar negara.

Kita berharap ahli-ahli lembaga pengarah KWSP termasuk Zainal Rampak (Presiden MTUC) dan N Siva Subramaniam (Presiden Cuepacs) tidak tunduk kepada kehendak dan nafsu pihak-pihak tertentu, sehingga berlaku seperti bidalan, 'harapkan pagar, pagar makan padi'!


HASSAN KARIM merupakan Naib Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM)