Ahli parlimen Kota Melaka, Kerk Kim Hock, hari ini digantung tiga hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana engkar mematuhi peraturan mesyuarat.

Kerk ( kiri ) diarahkan keluar dewan oleh Timbalan Speaker Datuk Mohamad Abdullah setelah Kerk mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin ( kanan ), menjawab soalan yang beliau ajukan sebelum ini.

Insiden tersebut tercetus ketika Zainal Abidin menyambung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2003 bagi kementerian beliau selepas sessi soal jawab tamat pagi tadi.

Kerk, yang tidak berpuas hati dengan Zainal Abidin yang didakwanya cuba mengelak daripada menjawab isu saman trafik Ops Warta II, tidak mengendahkan arahan timbalan speaker yang berkali-kali memintanya supaya duduk selepas timbalan menteri itu bertegas bahawa jawapan telahpun diberikan semalam dan tidak perlu lagi menjawabnya pada hari ini.

Bagaimanapun, setelah hampir lima minit berlaku pertikaman lidah di antara Kerk dan Mohamad, timbalan speaker telah menggunakan kuasanya di bawah Peraturan 44 agar setiausaha agung DAP itu digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi tempoh tiga hari.

Peraturan 44 mesyuarat memberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman keluar dewan bagi tempoh dua hingga 10 hari.

Ketika ditemui pemberita di lobi parlimen, Mohamad berkata beliau terpaksa mengambil tindakan tersebut memandangkan Kerk gagal mematuhi nasihat beliau untuk tidak mengganggu perjalanan mesyuarat.

"Bila dia tak mahu dengar (arahan), susahlah saya. Selalunya, kalau saya suruh duduk, beliau akan duduk," kata Mohamad, yang juga ahli Parlimen kawasan Maran, Pahang.

Bantahan

"Saya juga telah memaklumkan keputusan ini kepada (speaker Dewan Rakyat) Tun Zahir Ismail," katanya. Zahir tidak hadir pada hari ini kerana cuti sakit.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, Kerk berhak untuk membuat bantahan mengikut saluran yang ada.

Sementara itu, Kerk melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut yang didakwa "tidak adil".

"Bagi saya adalah amat penting bagi menteri menjawab soalan saya memandangkan Ops Warta II mempunyai kecacatan yang amat jelas serta untuk kepentingan semua," katanya ketika ditemui di luar Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Kerk telah mencabar kesahan saman yang dikeluarkan oleh polis kepada pemandu kenderaan semasa Ops Warta II mengikut Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pulangkan wang

Sehubungan itu, beliau telah meminta agar Zainal Abidin supaya meminta maaf di atas saman trafik yang menimbulkan kekecohan pertengahan tahun ini.

"Saya rasa beliau (Zainal Abidin) sengaja tidak mahu menjawab soalan saya kerana takut menjatuhkan maruah polis. Hakikatnya, orang ramai pasti akan gembira sekiranya menteri sanggup meminta maaf mengenai perkara tersebut," katanya lagi.

"Ini tidak ada kena-mengena dengan politik langsung" tegas Kerk lagi.

Kerk berkata beliau percaya Zainal Abidin sengaja tidak mahu mengakui kesilapan yang dilakukan oleh polis kerana bimbang terpaksa memulangkan semula wang yang dikutip dari orang ramai yang membayar saman Ops Warta II.

"Bagaimanapun, saya akan terus memperjuangkan nasib pemandu yang teraniaya melalui tindakan saman polis melalui Ops Warta II tersebut," tambahnya.

Katanya, beliau bertegas tidak mahu duduk selagi Zainal Abidin tidak menjawab soalan beliau, tetapi tidak menyangka akan digantung daripada menghadiri sidang dewan selama tiga hari.

Kerk juga berkata, beliau akan meminta mana-mana ahli DAP agar membuat usul di Dewan Rakyat supaya hukuman ke atasnya dikaji semula.