Umno didesak menerima tiga syarat PAS bagi menjayakan pertemuan peringkat pemimpin tertinggi dua parti itu.

Perkara ini akan dibentangkan oleh parti Islam itu dalam mesyuarat peringkat jawatankuasa teknikal Umno-PAS yang dijadualkan Selasa depan.

Presiden PAS Datuk Fadzil Noor terus mendesak Umno agar memenuhi dua lagi syarat setelah Majlis Raja-raja semalam memutuskan perkataan Islam boleh digunakan pada nama pertubuhan, termasuk parti politik. ([#1]Perkataan Islam boleh digunakan: Majlis Raja-raja[/#], 22 Mac)

"Kalau Umno akur dengan (keputusan Majlis Raja-raja) ini, kita akan gugurkan prasyarat," Fadzil kepada malaysiakini hari ini.

Dua lagi prasyarat PAS ialah mengembalikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS Terengganu dan membenarkan akhbar parti itu Harakah diterbitkan lapan kali sebulan seperti sebelum dihadkan Mac tahun lalu.

Fadzil berharap Umno menyambut baik keputusan Majlis itu dan menghentikan sebarang usaha untuk menggugurkan nama Islam seperti yang diura-urakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, PAS menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan langkah itu sebagai menepati ajaran Islam demi kepentingan rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob hari ini dilaporkan berkata parti itu menghormati keputusan Majlis Raja-raja Melayu berhubung penggunaan nama Islam.

"Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dengan keputusan ini, sebaliknya ia perlu diterima secara terbuka," katanya kepada Berita Harian. "Keputusan sudah dibuat dan kita wajar terima."

Mesyuarat pada 27 Mac ini dijangka diadakan di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur pada sebelah petang.

Sementara ahli jawatankuasa teknikal PAS Dr Mohd Hatta Mohd Ramli memberitahu malaysiakini, parti itu akan tetap bertegas dengan tiga syarat seperti telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat parti itu Ahad lalu.

"Walaupun satu (perkara) nampak selesai - itu (keputusan) di pihak Raja-raja Melayu. Umno juga perlu menunjukkan usaha (menerima keputusan itu)," kata Hatta.