Keputusan Majlis Raja-raja Melayu semalam untuk tidak menghalang perkataan Islam digunakan pada nama pertubuhan disambut baik oleh dua persatuan Islam hari ini.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan keputusan itu "tepat dan bijaksana", sementara Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) berkata ia "bertepatan dengan situasi yang berlaku di Malaysia sekarang."

"Abim menganggap keputusan Majlis Raja-raja adalah suatu langkah yang berani dan mentap," kata Presiden Abim Ahmad Azam Abdul Rahman. "(Abim) menyeru semua parti politik Melayu dan pertubuhan Islam mematuhi keputusan ini."

Sementara Setiausaha Agung Gamis Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata keputusan ini menunjukkan Majlis Raja-raja dan juga majlis fatwa kebangsaan prihatin dan menyokong perkembangan dakwah Islam di negara ini.

Selain itu Majlis Raja-raja turut membuat dua lagi keputusan iaitu seseorang Islam masih dianggap Muslim selagi patuh kepada rukun-rukun iman dan Islam, dan hanya Allah berhak menentukan sama ada seseorang itu akan ke syurga atau neraka. ([#1]Perkataan Islam boleh digunakan: Majlis Raja-raja[/#], 22 Mac)

Dua perkara ini tidak bertakluk kepada sokongan kepada seseorang individu atau pertubuhan tertentu, kata Majlis itu lagi semalam.