versi terkini Majlis Raja-raja Melayu tidak membantah penggunaan perkataan Islam pada nama pertubuhan dan parti politik.

Menurut laporan agensi berita Bernama, keputusan itu diumumkan selepas persidangan bagi kali ke-188 Majlis itu semalam dan hari ini.

Bagaimanapun, seseorang atau pertubuhan dilarang menggunakan nama Islam untuk mengelirukan masyarakat atau penyelewengan kerana ia bercanggah dengan syariat Islam.

Keputusan itu dibuat selepas menerima saranan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam berhubung isu itu.

PAS sebelum ini menjadikan isu tersebut - menyarankan agar kerajaan tidak menerima cadangan untuk memansuhkan perkataan Islam pada nama pertubuhan - sebagai satu daripada tiga syarat untuk mengadakan pertemuan peringkat pemimpin tertinggi dengan Umno.

Semalam Pemuda PAS mengecam Umno dengan tuduhan parti kerajaan itu berhasrat memansuhkan perkataan Islam dan Majlis Raja-raja 'diperalatkan' untuk tujuan itu. ([#1]Umno dituduh 'peralatkan' Majlis Raja-raja[/#], 21 Mac)

"Pemuda PAS mendesak Majlis Raja-raja supaya tidak mengambil tindakan yang melulu untuk menjayakan program politik sempit Umno," kata Naib Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Katanya lagi, Pemuda parti itu sedar Majlis Raja-raja dapat mengesan "perancangan jahat Umno" seperti beberapa krisis politik antara parti kerajaan itu dengan sultan pada 1983 dan 1992.

Selain isu pengguguran perkataan Islam, Majlis itu juga membuat dua lagi keputusan, termasuklah seseorang Islam masih dianggap Muslim selagi patuh pada rukun-rukun iman dan Islam.

"Pengakuan atau sokongan kepada pihak tertentu sebelum seseorang itu ditentukan keIslamannya adalah salah di sini Islam," kata Majlis itu seperti dilaporkan.

Majlis juga membuat keputusan bahawa hanya Allah berhak menentukan sama ada seseorang Islam itu akan ke syurga atau neraka.

"Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam layak ke syurga atau neraka adalah salah menurut ajaran Islam," laporan itu dipetik.

Umno sering mendakwa PAS menggunakan dua idea ini sebagai taktik untuk memancing undi di kalangan masyarakat Islam. Parti Islam itu bagaimanapun menafikan pernah membuat dakwaan seperti itu.

Sidang Majlis itu kali ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dan dihadiri oleh semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri kecuali Pahang, Kedah, Johor dan Selangor.

Negeri-negeri itu diwakili oleh Raja Muda masing-masing.