KPPK lulus usul sokong penggunaan BI
Usul itu diluluskan pada persidangan agung KPPK kali ke-16 selama empat hari yang berakhir di Kuala Terengganu, hari ini. Bagaimanapun, 19 perwakilanmenentang ketetapan tersebut.
Menurut laporan Bernama, Setiausaha Agung KPPK, Datuk N Siva Subramaniam berkata keputusan itu adalah ketetapan penting kesatuan itu terhadap usaha kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini.
"Sebagai sebuah kesatuan guru terbesar di negara ini, saya katakan bahawa ketetapan KPPK ini adalah suara guru seluruh negara yang terdiri daripada berbilang kaum.
"Pendirian kami adalah tegas dan jelas... jadi tidak timbul lagi soal kami gagal menentukan pendirian mengenai isu tersebut kerana KPPK sentiasa mengambil kira pandangan anggota," katanya dalam sidang media.
Kurang kefahaman
Ditanya mengenai laporan akhbar yang menyebut parti-parti yang mewakili kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) mahu kerajaan mengekalkan penggunaan bahasa Mandarin bagi pengajaran sains dan matematik di sekolah Cina pada peringkat sekolah rendah, Siva berkata:
"Mungkin pendirian itu timbul kerana kurangnya kefahaman pihak berkenaan terhadap cadangan kerajaan itu kerana ia sebenarnya melibatkan kepentingan dan masa depan anak-anak kita."
Beliau berkata KPPK telah menetapkan untuk turun ke peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan kepada masyarakat dan warga guru mengenai dasar tersebut dan akan mengemukakan cadangan tertentu kepada kerajaan jika perlu.
Katanya adalah menjadi sesuatu yang biasa sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan kerajaan kerana mereka sendiri belum melihat hasilnya.
"Sekolah Wawasan misalnya di peringkat awal ditentang tetapi apabila ia berjaya, maka pelbagai pihak yang sebelum ini menentang telah menyokongnya," kata beliau.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Siva yang juga Presiden Cuepacs berkata KPPK juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menghapuskan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) bagi membolehkan buku teks dibekalkan secara percuma kepada semua pelajar.
Menurutnya ini kerana terdapat masalah tertentu dalam proses mengisi borang SPBT bagi membolehkan pelajar mendapat buku teks percuma apabila ada ibu bapa atau penjaga yang memberikan maklumat yang salah.
Maklumat salah
"Walaupun kerajaan menetapkan pendapatan RM1,000 ke bawah layak mendapatkan buku teks percuma, ramai yang memberi maklumat salah bagi mengelak daripada membeli buku teks untuk anak-anak.
"Jadi perkara itu sudah tidak relevan lagi dan kerana itu kerajaan perlu memberikan buku teks secara percuma kepada pelajar di negara ini," katanya.
Sementara itu, Presiden KPPK, Tengku Habsah Tengku Petera dan Timbalannya, Lim Cheng Uo masing-masing mengekalkan jawatan mereka untuk penggal 2002-2005.
Keputusan itu diumumkan oleh Siva yang turut mengekalkan jawatannya pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan KPPK ke-16 di sini hari ini.
Tengku Habsah mendapat 73,018 undi menewaskan pencabarnya Gurdeep Singh a/l Mukhtiar Singh yang memperolehi 5,412 undi, manakala Lim menerima 73,132 undi mengatasi pencabarnya Gurdeep Singh yang mendapat 3,924 undi.
Muka baru
Jawatan Naib Presiden Aliran Bahasa Melayu menyaksikan muka baru, Anuar Ibrahim dipilih menduduki jawatan itu dengan 40,424 undi menewaskan lima pencabar lain.
Naib Presiden Aliran Bahasa Cina dimenangi Tey Meng Seng (53,470 undi), Aliran Inggeris, Tan Kian Kiat yang menang tanpa bertanding dan Rajah a/l R Krishnswamy bagi Aliran Bahasa Tamil (68,993 undi).
Turut dipilih semula ialah Narita Mohd Noor sebagai Naib Presiden (Wanita), S Sundralingam dan Abdul Aziz Nuri (Timbalan Setiausaha Agung) manakala Bendahari Agung pula disandang Lok Yim Peng dan Penolong Bendahari Agung, Ismail Nihat.
Sebanyak 103,363 kertas undi telah diedarkan kepada semua cawangan kesatuan itu dan proses pengiraan undi dijalankan pada 15 Ogos.

