Sabah hari ini mendapat Ketua Menteri baru, Datuk Chong Kah Kiat, daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

Sebagai Ketua menteri keenam dalam sistem pengggiliran sejak 1994, Chong menggantikan pemimpin Umno Datuk Osu Sukam yang telah tamat tempoh perkhidmatannya semalam.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi Barisan Nasional tengahari tadi.

Seseorang ketua menteri akan mentadbir selama dua tahun bagi setiap penggal.

Menurut Perdana Menteri, sistem penggiliran itu akan diteruskan dengan sedikit perubahan. Kaedah baru itu membenarkan pemimpin Umno menguasai jawatan itu selama dua penggal.

"Oleh kerana Umno merupakan parti terbesar, kita beri dua kali bagi Umno. Sekali (penggal) kepada parti Bumiputera bukan Islam dan sekali kepada parti Cina," katanya selepas mesyuarat itu selama hampir empat jam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Barisan kabinet negeri itu akan turut berubah tetapi perbincangan tentang hal itu akan dibuat terlebih dahulu dengan Chong, tambahnya.

Perdana Menteri berkata semua pemimpin parti komponen telah menerima perubahan ini dan mereka akan membuat penjelasan kepada penyokong masing-masing.

Krisis lompat parti

Sistem penggiliran diperkenalkan bagi membolehkan tiga kumpulan kaum terbesar di negeri itu - Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina - mentadbir selepas krisis lompat-melompat parti di kalangan calon yang memenangi pilihanraya negeri tujuh tahun lalu.

Pilihanraya itu asalnya dimenangi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan majoriti tipis tetapi gagal membentuk kerajaan ekoran krisis tersebut.

Komponen BN negeri itu terdiri parti Umno, Pertubuhan Bersatu Pasuk Kadazandusun (Upko), Parti Progresif Sabah (Sapp), Akar Bersatu, LDP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sebagai Menteri Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi negeri itu, Chong berkata beliau tidak menduga menerima pelantikan itu.

"Setiap kaum terutama di negeri Sabah, mempunyai peranan," katanya, yang juga wakil rakyat Kudat.

Ketua Menteri pertama di bawah sistem itu ialah Tun Sakaran Dandai daripada Umno, kemudian digantikan oleh Datuk Salleh Said Keruak (Umno) selepas Sakaran dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.

Datuk Yong Teck Lee (Sapp) menggantikan tempat Salleh sebagai mewakili kaum Cina dan diikuti Tan Sri Bernard Dompok Upko sehingga beliau kalah dalam pilihanraya umum 1999.