Pekerja asing tanpa izin yang telah dihantar pulang, berhak untuk kembali bekerja semula di Malaysia sebagai pekerja yang sah sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah semasa bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Dr Fong Chan Onn mengakui pelbagai sektor di negara ini, terutamanya yang berteknologi rendah seperti perladangan, pembinaan dan industri kecil masih memerlukan kehadiran pekerja asing.

"Dalam jangkamasa singkat ini, penghantaran semula 300,000 pekerja asing telah menimbulkan masalah di sektor pembinaan. Bagaimanapun, kerajaan akan mencari penyelesaian segera dalam beberapa bulan ini," kata Fong, ketika ditemui wartawan selepas pelancaran Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Setapak, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, pihak kerajaan telahpun mengadakan dialog dengan majikan bagi mengatasi isu ini, dan beliau meminta mereka turut mencari alternatif lain, seperti meningkatkan penggunaan teknologi di sektor masing-masing.

"Ini akan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing," kata Fong.

Ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik pengharaman kepada pekerja pembinaan dari Indonesia, beliau berkata, kerajaan telah berbincang mengenainya dengan majikan terbabit.

Hukuman penjara

Bagaimanapun, Fong enggan mengulas lanjut sama ada kerajaan akan "menarik balik" pengharaman tersebut.

Semalam, jurucakap Jabatan Imigresen, Ahmad Shukri Abdul Majid, berkata kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan meluluskan permit membawa masuk pekerja Indonesia.

Ini adalah berikutan beberapa sektor di negara ini kekurangan pekerja, kerana tidak mempunyai pekerja ganti, setelah pekerja asing tanpa permit, pulang ke negara asal mereka semasa tempoh pengampunan dari Mac 22 hingga Julai 31 lalu.

Dianggarkan 42.4 peratus daripada 300,000 pekerja asing, terutama dari Indonesia dan Bangladesh, yang meninggalkan negara ini, adalah dari sektor pembinaan.

Mengikut Akta Imigresen, pekerja asing yang didapati bersalah memasuki negara ini secara haram, boleh didenda maksima RM10,000, penjara tidak melebihi lima tahun dan enam sebatan.

Manakala mereka yang melindungi pendatang tanpa izin pula boleh didenda RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap pekerja dan setahun penjara, manakala mereka yang menggaji lebih lima pendatang tanpa izin boleh dikenakan sebatan mandatori serta penjara tidak melebihi lima tahun.





2 HARI LAGI! Mulai Khamis ini, bersamaan 15 Ogos, seksyen berita dalam Malaysiakini tidak lagi diberi percuma. Jangan lepaskan peluang untuk terus mengikuti satu-satunya sumber dan penyebar berita bebas dari kami. Langgan SEKARANG! Klik sini.