PAS mahu Sharon dibawa ke muka pengadilan
Dalam serangan itu, 15 rakyat Palestin terbunuh termasuk komander sayap tentera Hamas, Ketua Pergerakan Briged Izz el-Deen al-Qassam, Salah Shehade dan lapan kanak-kanak, terbunuh.
"Kamu menuntut supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat segera dan memulakan perbicaraan untuk mendakwa Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon sebagai penjenayah perang," kata Timbalan Pengerui Biro Antarabangsa PAS, Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan seumpama itu juga akan menjadi ujian penting terhadap fungsi Mahkamah Jenayah Antarabangsa itu yang ditubuhkan baru-baru ini.
"Sekiranya, ICC gagal mencari penyelesaian terhadap isu ini, maka jelaskan ia juga telah menjadi alat yang hanya cenderung dengan kepentingan negara-negara besar," tambahnya.
Dr Mohd Hatta berkata, PAS juga menggesa Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) supaya mengadakan mesyuarat tergempar dan mengeluarkan resolusi kepada PBB untuk meneruskan usaha mendakwa Ariel Sharon di ICC.
Penyelesaian muktamad
"OIC sepatutnya menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk 'membalas' tindakan kejam regim itu dengan apa cara sekalipun," tegasnya.
PAS juga mengecam tindakan Amerika Syarikat yang terus-menerus menyokong regim Zionis Israel dan sikap 'berpura-puranya' dalam mencari penyelesaian muktamad terhadap isu Palestin.
"Tiada gunanya menangisi pembunuhan berama-ramai penduduk awam di Gaza kerana Amerika sendiri yang membekalkan senjata kepada Israel, termasuk pesawat pejuang F-16 yang melancarkan serangan itu.
"PAS bersimpati dengan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin. Kami juga mahu menyatakan komitmen kami dalam menyokong sebarang usaha untuk membawa penjenayah Sharon ke muka keadilan di ICC.
"Hati dan jiwa kami sentiasa bersama rakyat Palestin yang berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kembali tanah suci mereka," tambah Dr Mohd Hatta.

