Wartawan Cabaran dan Tamadun dibebas dengan ikat jamin
Menurut editor kedua-dua majalah tersebut Ahmad Lutfi Othman, polis telah menahan mereka di lobi dewan persidangan dimana Perhimpunan Agung Umno 2002 sedang berjalan kerana disyaki mengedar risalah berkaitan salahguna kuasa dan amalan rasuah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Mereka yang ditahan ialah wartawan Tamadun, Rosmida Abdul Rahman dan tiga wartawan Cabaran, Mohd Noor Abd Samad, Haris Zulkapli dan Rozani Morad. Mereka disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan(1984) pindaan 1987.
Dua risalah, yang diedarkan di beberapa kawasan berasingan di sekitar PWTC termasuk pusat media, bertajuk "Tolak Rasuah, Tolak Khir, Tolak Umno" dan "Khir Toyo Bapa Rasuah". Turut dirampas ialah cakera padat video yang bertajuk "Skandal MB".
Menurut Lutfi, risalah-risalah tersebut mengandungi beberapa dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo.
Sebelum ini, Lutfi telah enam kali membuat aduan rasmi berhubung dakwaan kes rasuah Dr Khir Toyo kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Anggota gerak-gempur
Lutfi berkata Rosmida ditahan oleh sekumpulan anggota Gerak Gempur Pemuda Umno selepas dia cuba menemubual Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Alwi. Zulkifli kemudiannya dikatakan telah mengarahkan lima anggota Gerak Gempur Pemuda Umno mengikuti jejak Rosmida.
Rosmida kemudian ditahan oleh mereka bersama anggota polis yang bertugas di PWTC. Rosmida dan rakan-rakannya itu mempunyai pas akhbar yang dikeluarkan oleh pihak urusetia persidangan Umno.
"Difahamkan pihak polis cukup berminat untuk mengetahui siapa yang sebenarnya tokoh-tokoh Umno yang disyaki mendalangi usaha saya mendedahkan kes rasuah Dr Khir Toyo secara berterusan," tambah Lufti dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Rosmida hanya mahu mendapatkan respons pemimpin Umno, bukan sahaja dalam isu rasuah Khir Toyo tetapi isu-isu lain yang berkenaan dengan itu.
Sebelum itu, Rosmida telah berjaya mendapatkan ulasan beberapa pendapat pimpinan Umno termasuk Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Dr Mahadzir Mohd Khir dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim.
Selain itu, kata Lutfi telefon bimbit Rosmida turut dirampas. Adalah difahamkan Rosmida cuba mendapatkan semula telefon bimbitnya kemudian tetapi tidak berjaya.
Sebelum ini, permit penerbitan beberapa majalah politik Lutfi seperti Al-Wasilah dan Detik yang memainkan isu isu sensitif telah tidak diperbaharui.
Cabaran dan Tamadun adalah antara majalah-majalah Lutfi yang masih mempunyai permit penerbitan.

